Persekolahan di era pandemik COVID-19

persekolahan

DENMARK menjadi negara Eropah pertama yang membuka pintu pagar sekolah kepada anak-anak. Pada pertengahan bulan April, pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak serta sekolah rendah dibuka secara berperingkat bagi membolehkan ibu bapa kembali bekerja. Terdapat kerisauan di waktu itu, kemungkinan anak-anak dijadikan tikus makmal oleh pemerintah. 

Kerjasama antara Kementerian Kesihatan, pakar-pakar pengkaji penyakit berjangkit (epidemiologist) dan pihak sekolah, membolehkan bilik darjah dan rutin persekolahan disusun atur bagi menjamin keselamatan anak-anak dan kakitangan bertugas. Tujuan utamanya adalah bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19. 

Jumlah murid di setiap kelas dikurangkan kepada separuh, memberi ruang penjarakan selamat. Langkah keselamatan yang lebih ketat turut diperkenalkan pada waktu rehat. 

Advertisement

Murid-murid di dalam jumlah yang jauh lebih kecil, cuma dibenarkan bermain sesama sendiri di kawasan yang telah ditetapkan. Langkah ini penting dengan mengambil kira, anak-anak berkemungkinan leka sewaktu bermain dan lupa keperluan menjaga jarak. Seperti yang dijangkakan, anak-anak ini pantas menyesuaikan diri dengan norma baru termasuk rutin mencuci tangan. 

Laporan terkini, kadar kematian berkaitan COVID-19 di Denmark adalah 10.11 orang bagi setiap seratus ribu orang penduduk (SSRP). Berbanding United Kingdom yang dilaporkan mempunyai jumlah kematian keempat tertinggi di dunia dengan kadar 60.68 orang, SSRP. Alhamdulillah, di Malaysia kadar ini lebih terkawal, iaitu 0.37 orang kematian, SSRP. 

Biarpun jumlah kematian di United Kingdom (UK) melepasi angka 40 ribu orang, England mengalu-alukan kepulangan anak-anak ke sekolah rendah pada awal bulan ini. Wales turut menyatakan kesediaan mereka. Sementelah peperiksaan utama General Cerificate of Secondary Education (GCSE) dan Advance Level qualification (A-Level) telah dibatalkan, Scotland dan Northern Ireland pula memutuskan untuk memulakan sesi persekolahan, tamat cuti musim panas akan datang. 

Biarpun beberapa buah sekolah di kawasan kebolehjangkitan (R0, basic reproductive rate) rendah telah dibuka, England memberi pilihan kepada anak-anak untuk meneruskan sesi pembelajaran secara maya. Masih terdapat kerisauan tinggi di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Antara puncanya, kemungkinan anak-anak ini mendedahkan ahli keluarga yang berisiko tinggi kepada jangkitan. 

Mengadaptasi model persekolahan di Denmark, England menetapkan tidak lebih dari 15 orang murid-murid yang sihat ditempatkan di dalam sesebuah bilik darjah. Kedudukan murid-murid dijarak sejauh dua meter. 

Selain menggunapakai laluan sehala di dalam kawasan sekolah, kumpulan murid-murid memulakan sesi persekolahan dan tamat pada waktu yang berbeza-beza bagi memudahkan kawalan penjarakan. Alatan di dalam bilik darjah tidak dikongsi, selain proses penyahkuman dilakukan dengan kerap. Rutin mencuci tangan diperkenalkan dan pensanitasi tangan disediakan dengan jumlah yang cukup. Pengudaraan di dalam bilik darjah juga diambil kira dan murid-murid tidak digalakkan menggunakan pengangkutan awam. 

Setakat ini, masih terlalu awal untuk ditentukan sejauh mana keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil di sekolah-sekolah di England. Biarpun begitu, Menteri-menteri Pendidikan dari 22 negara Eropah bersetuju, sesi persekolahan di era pandemik COVID-19 tidak meningkatkan kes jangkitan di kalangan murid-murid, ibu bapa dan kakitangan sekolah jika langkah-langkah  keselamatan yang ketat digunapakai. 

Dengan mengambil kira pengalaman negara-negara luar, diharap sesi persekolahan di Malaysia dapat diteruskan dengan jayanya. Keselamatan murid-murid, guru-guru, kakitangan sekolah dan ahli keluarga mereka sewajarnya menjadi keutamaan seiring dengan usaha mendidik anak bangsa. Semoga usaha ini dipermudahkan Allah. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park.

Rujukan utama;

(a) Johns Hopkins: Coronavirus Resource Center.
(b) https://news.sky.com/story/coronavirus-how-schools-in-england-are-keeping-staff-and-pupils-safe-11998715
(c) https://www.bbc.co.uk/news/av/world-europe-52649919/coronavirus-inside-a-reopened-primary-school-in-the-time-of-covid-19HARAKAHDAILY 8/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.