BPN beri manfaat 10.6 juta penerima

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi Prihatin rakyat menerusi program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sejak diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dimanfaatkan 10.6 juta penerima.

Advertisement

Daripada jumlah tersebut, seramai 10.4 juta telah menikmati bayaran BPN dengan jumlah sebanyak RM10.78 bilion ataupun 96.7 peratus.

Menurut Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz berkata, penerima yang masih belum menerima pembayaran BPN boleh menuntut pembayaran di cawangan BSN berhampiran sehingga 31 Disember depan.

Manakala katanya, bagi kumpulan rayuan keputusan akan dimaklumkan pada pertengahan Jun dan tarikh akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.

Ujarnya, bagi program i-Lestari KWSP, sehingga 5 Jun sebanyak 4.1 juta permohonan telah diluluskan iaitu peningkatan daripada 4 juta sebelum ini.

Ia melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.94 bilion sebulan.

Bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus katanya, sehingga 5 Jun lebih 5.7 juta pekerja memilih untuk meneruskan pengurangan caruman.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian laporan ke-8 pencapaian langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat atau PRIHATIN yang disiarkan secara langsung hari ini di Facebook Tengku Zafrul.

Di bawah program Geran Khas Hasanah katanya, program ini telah berperanan menyokong meningkatkan kualiti hidup golongan B40, komuniti mudah terjejas, orang ASAL, warga emas, gelandangan, kanak-kanak, wanita belia serta golongan OKU di seluruh Malaysia.

Ujarnya, beberapa projek sosial bernilai RM3.6 juta telah diagihkan melibatkan projek penanaman sayur-sayuran, perusahaan madu kelulut penduduk Felda Jempol, projek pencapaian pelajar bagi subjek Matematik dan Sains dan khidmat kaunseling. – HARAKAHDAILY 9/6/2020