Kalah sebab undi lawan

MUKTAMAR Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-40 pada 27 Mei 1999 menyaksikan pertembungan antara bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Mohd Hatta Ramli dengan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, (Dato’) Mahfuz Omar untuk merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Ketua sebelumnya, Ustaz Abu Bakar Chik telah menarik diri setelah 10 tahun memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat sejak 1989. Ini bukan kali pertama berlaku pertandingan bagi jawatan utama Dewan Pemuda PAS dalam dekad tersebut, kerana pada 1997, Haji Mohamad Sabu juga telah bertanding menentang penyandangnya, tetapi tewas.

Pertandingan jawatan dalam Dewan Pemuda PAS yang sering disebutkan sebagai ‘fastabiqul khairat’ itu telah menjadi kancah yang berbeza sejak 1999. Kempen, lobi dan memburukkan lawan telah mewarnai pemilihan Dewan Pemuda PAS pasca era reformasi itu, di luar normal biasa PAS. Pelbagai isu telah dijadikan senjata untuk menjatuhkan lawan pada 1999 itu. Antaranya, penyokong salah seorang calon memainkan isu calon profesional vs tidak profesional, calon keluar universiti vs tak masuk universiti, calon ada ijazah vs tak berijazah, serta isu calon boleh berbahasa Inggeris vs sebaliknya. Boleh dikatakan ini adalah pertama kali kempen dan lobi seperti ini berlaku dalam sejarah PAS sejak era kepemimpinan ulamak.

Entah apa faktornya. Tetapi banyak suara menyebut ia berlaku setelah pengaruh IRC berkembang semula dalam PAS ketika itu. Beberapa tokoh yang pernah mendapat tarbiyah IRC dari Kelantan pada dekad 1980-an adalah antara memainkan peranan sebagai pelobi utama. Tidak ramai yang melihatnya sebagai berpunca dari kemasukkan golongan profesional dalam PAS, kerana sebelumnya ramai tokoh profesional muda dalam Dewan Pemuda PAS, tetapi ia tidak berlaku. Sebaliknya, kebangkitan pengaruh baru dari luar selepas PAS memimpin GERAK sejak 1998, ada relevansinya.

Advertisement

“Orang sekarang berebut nak jadi pemimpin. Kami dulu, berebut tak nak. Pemimpin ini bukan kebanggaan, tetapi beban yang kena jawab di akhirat,” rungut Ustaz Hassan ketika beliau menyaksikan pertandingan yang diwarnai oleh budaya kurang sihat ini.

“Kita kena ingat, kepemimpinan ini, bila kita minta, Allah tak tolong. Tapi bila kita ambil kerana diamanahkan, Insya-Allah ada pertolongan. Kita jangan ingat kuasa dan jawatan ini mari dari manusia, tapi ia adalah ujian dari Allah.

“Zaman Nabi S.A.W dulu, bila ada orang minta nak jadi pemimpin, Nabi S.A.W kata, jangankan jawatan, kalau kamu minta pelepah tamar ini pun aku tak bagi. Saidina Umar pun tak mahu anaknya dicalon sebagai khalifah, kerana kata dia, bila jadi khalifah, sebelah kaki dah dalam neraka,” panjang Ustaz bersyarah mengenai isu kepemimpinan dari sudut pandangan Islam.

“Ustaz mula jadi pemimpin bila?” saya mula bertanya.

“Ana, tahun ’50-an dulu jadi pemimpin pelajar. Orang tunjuk, kita ambil. Dalam KPIP (Kesatuan Pelajar Islam Perak) dan KPAS (Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya). Pernah jadi Ketua Pemuda (PAS) Perak sebelum pergi ke Baghdad dan Tok Guru Haji Abdul Samad (Noh) pernah lantik ana sebagai Setiausaha Agung PGMR (Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat) Perak. Di Baghdad, ana dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Melayu Iraq, Ustaz Dahlan (Mohd Zain dari Perlis) jadi Yang Dipertua. Bila balik, terus masuk dalam Dewan Pemuda (PAS Pusat), mula-mula AJK, lepas itu pangku Wakil Ketua, terus jadi Ketua Pemuda – PAS Pusat),” Ustaz bercerita mengenai pengalaman kepemimpinannya.

“Dalam PAS Pusat, berapa lama dah Ustaz duduk dalam Jawatankuasa (Kerja) Agung (PAS)?” saya cuba meninjau keluasan pengalaman Ustaz.

“Sejak ana jadi Ketua Pemuda pada 1971, sampai hari ini (1999), ana tak pernah tidak menjadi AJK. Kira-kira lebih kurang 29 tahun dah,” Ustaz mula menghitung tempoh beliau berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS. Sebenarnya, sejak 1971 sehingga Ustaz wafat pada 2010, Ustaz tidak pernah tercicir daripada menduduki kepemimpinan PAS Pusat.

“Apa jawatan yang Ustaz pernah pegang di peringkat Pusat?” saya meneruskan tinjauan.

“Banyak. Ana pernah jadi Ketua Pemuda, AJK biasa pun pernah, Setiausaha Agung dua kali, Ketua Penerangan, Naib Ketua Dewan Ulamak (PAS Pusat), Pesuruhjaya PAS Selangor, Setiausaha Majlis Syura (Ulamak PAS), Ahli Majlis Syura. Sejak ’89 ana jadi Naib Presiden PAS. Paling rendah jadi AJK biasa dua kali. Pertama tahun ’73 lepas ana tak jadi Ketua Pemuda dalam setahun, lepas itu jadi Setiausaha Agung. Kedua, tahun ’81 bila Pak Yusof Rawa lawan Ustaz Datuk Abu Bakar Umar sebagai Timbalan Yang Dipertua, ana jadi AJK biasa setahun, dilantik semula jadi Setiausaha Agung, bila Datuk Abu Bakar Umar letak jawatan,” Ustaz menggalurkan pengalaman kepemimpinan beliau dalam PAS. Kita sedia maklum, pada 2003, Ustaz dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS.

“Kira-kira seluruh sejarah PAS sejak 1970 ini Ustaz lalui sendiri dan ‘dalam poket’ Ustaz semua lah kan…” saya memberikan kredit kepada Ustaz.

“Takde lah semua, tapi tahu sikit-sikit,” Ustaz merendah diri dengan kelebihan yang dimilikinya.

“Macam mana Ustaz boleh lepas jawatan Ketua Pemuda, bukan ke masa itu tengah bentuk Kerajaan Campuran?” saya mula mengorek kedudukan beliau dalam Dewan Pemuda PAS.

“Masa ana jadi Ketua Pemuda, ana lantik Ustaz Yunus (Yatimi) jadi Setiausaha, Ustaz (Abdul) Wahab (Yunus) jadi Bendahari. YB Wan Hassan (Wan Daud), Exco Kerajaan Kelantan jadi Wakil Ketua.

“Dalam tahun ’73 itu, Ustaz Yunus letak jawatan. Sebabnya kita nak calon Ustaz Yunus ini jadi Ketua Qadhi Kuala Lumpur. Masa ini, tengah proses tubuh Wilayah Persekutuan. Tahun ’72, Kuala Lumpur jadi bandar raya, Datuk Lokman (Yusof) jadi Datuk Bandar. Rancangan Tun (Abdul) Razak (Hussein) nak naik taraf Kuala Lumpur jadi Wilayah Persekutuan mulai 1 Februari 1974. Mufti Wilayah, ambil orang Umno, (Dato’) Sheikh (Abdul) Mohsein (Salleh). Jadi, Ketua Qadhi orang PAS. Itu kita cadang Ustaz Yunus Yatimi.

“Jadi, ana ambil Ustaz Wahab yang asalnya Bendahari, jadi Pemangku Setiausaha, sementara tunggu Mesyuarat Agung (Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat) tahun ’73, sebab ada pemilihan. Ustaz Wahab ini Ketua Pemuda PAS Terengganu. Dia pula wakil rakyat. Jadi ada nama sikit. Bila jadi Setiausaha, lagi terkenallah.

“Lepas itu Ustaz Wahab lawan Ustaz ke?” saya menebak.

“Tak. Kami semua OK. Takde main lawan-lawan. Dia orang pun tahu, ana sibuk menguruskan Pejabat Agung PAS. Setiausaha Agung dah jadi Setiausaha Parlimen Kementerian (Pembangunan Negara dan) Luar Bandar. Tun Razak lantik Ustaz Abu Bakar Hamzah jadi Senator sejak awal ’73. Yang jaga Pejabat Agung ini ana lah sebagai Setiausaha Kerja PAS (Pusat). Kerja pun dah banyak, sebab jadi kerajaan. Ana sendiri masuk dalam (Lembaga Usrasan dan) Tabung Haji sebagai Ahli Lembaga.

“Masa Mesyuarat Agung Pemuda itu (pada 21 September 1973), ada orang calon Ustaz Wahab, sebab ambil kira kedudukan ana yang sibuk. Jadi, hari Mesyuarat Agung itu, berlakulah pertandingan, ana sebagai penyandang dengan Ustaz Wahab, Setiausaha Pemuda. Kita pun bukan berlawan atau berebut sangat. Atas semangat untuk menyumbang pada jemaah je.

“Jadi, masa kiraan undi selesai. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umum, Ustaz Wahab terpilih sebagai Ketua Pemuda baru untuk Sesi ’73-’75 dengan lebihan suara. Haji Ismail Kassim, Setiausaha Perhubungan Kedah pula dipilih sebagai Wakil Ketua Pemuda untuk membantu Ustaz Wahab.

“Lepas Mesyuarat Agung selesai, ana tanya Pengerusi Pemilihan, ana dapat berapa undi. Dia kata, Ustaz kalah satu undi je. Maknanya, majoriti satu undi,” terang Ustaz mengenai kekalahan itu.

“Kira Ustaz kalah tipis je lah,” ulas saya pula.

“Sebenarnya, masa pengundian itu, ana tak undi ana sendiri. Ana undi Ustaz Wahab. Ertinya, satu undi yang Ustaz Wahab lebih itu, itu undi ana. Kalau ana undi ana sendiri, mesti satu undi ana itu boleh kat ana, dan ana akan menang. Ustaz Wahab menang dengan undi ana, dan ana kalah sebab ana tak undi diri sendiri,” terang Ustaz yang berpuas hati dengan kekalahannya.

Di dalam hati saya mengeluh, betapa ikhlasnya Ustaz dalam perjuangan. Sanggup kalah kerana melihat jawatan adalah beban amanah. Tidak mengundi diri sendiri kerana berasa orang lain adalah lebih dan tidak berasa diri sendiri hebat.

Rupa-rupanya, Allah menjadikan ujian ini untuk menaikkan darjat Ustaz. Beliau yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS esoknya, telah dinamakan oleh Datuk Mohd Asri Haji Muda sebagai Setiausaha Agung PAS pada 1974, sekali gus meletakkan beliau sebagai pemimpin politik utama negara kerana ketika itu PAS berada dalam Kerajaan Pusat. Ustaz adalah Setiausaha Agung kepada sebuah parti pemerintah.

Patutlah Ustaz seperti kesal melihat orang sekarang melobi dan berkempen, bahkan memburuk-burukkan lawan untuk mendapat jawatan. Hanya amal Islami yang ikhlas sahaja diterima Allah! Semoga Allah menerima amal Ustaz.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 9/6/2020

Dato’ Mohd Asri Haji Muda sedang menyampaikan ucapan dasar dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28 Julai 1972. Ustaz Hassan Shukri adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika ini.
Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ketua Pemuda PAS Pusat bagi Sesi 1973-1975 menggantikan Ustaz Hassan Shukri.
Haji Ismail Kassim, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah dipilih sebagai Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Sesi 1973-1975, bergandingan dengan Ustaz Abdul Wahab Yunus.