Surau di R&R boleh dibuka semula

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan mesyuarat hari ini membenarkan pembukaan semula surau-surau di pusat membeli belah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Advertisement

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan kebenaran merentas negeri yang akan berkuatkuasa bermula 10 Jun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Berikutan merentas negeri telah dibenarkan bermula 10 Jun (esok), saya percaya ramai yang akan melakukan perjalanan jauh, jadi surau di R&R akan dibuka begitu juga di pusat beli belah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, ia tertakluk pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan perlu mengamalkan disiplin diri seperti menjaga penjarakan sosial dan lain-lain SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Agama.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa gerai jualan di R&R juga dibenarkan untuk beroperasi selepas tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan.

Manakala kedai makan dan semua perniagaan yang menjual makanan dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 malam yang sebelum ini hanya dibenarkan sehingga jam 10 malam. – HARAKAHDAILY 9/6/2020