COVID-19: Rakyat Malaysia pertama meninggal di Qatar

DOHA, Qatar: Seorang warganegara Malaysia, Tengku Endut Tengku Jusoh disahkan meninggal dunia kerana jangkitan COVID-19, di Hamad Medical Center, di sini hari ini.

Advertisement

Menurut kenyataan pihak Kedutaan Malaysia, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 11:05 pagi waktu tempatan atau 4:05 petang waktu Malaysia.

Kedutaan Besar Malaysia di Qatar juga mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga mereka dikurniakan ketabahan hati atas pemergian tersebut.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hamad Medical Center sejak 10 Mei lalu kerana menghadapi kesukaran bernafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan khusus.

Namun, setelah itu kesihatan Allahyarham dilaporkan tidak begitu memberangsangkan, malah semakin tenat.

Allahyarham yang berasal dari Besut, Terengganu pernah berkerja dengan Malaysian Airlines System (MAS) sebagai jurutera sebelum menyertai Qatar Airways. – HARAKAHDAILY 10/6/2020