Dapat juga pulang ke kampung – perantau

PASIR PUTEH: Keputusan kerajaan membenarkan rakyat di negara ini merentas negeri bermula hari ini disambut gembira orang ramai.

Seorang pengguna jalan raya Mohd Asri Abdullah, 36, melahirkan rasa syukur di atas kebenaran kerajaan rakyat merentas negeri.

Advertisement

Katanya, beliau bersama keluarga mengambil peluang itu untuk pulang ke kampung walaupun Aidilfitri sudah lama berlalu.

“Sekurang-kurangnya kami dapat juga pulang ke kampung,” ujarnya gembira.

Sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong mencatat lebih 500 kenderaan memasuki Kelantan bermula jam 8 pagi hingga jam 12.00 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, SJR dilakukan bagi melancarkan aktiviti keluar masuk kenderaan ke Kelantan.

Selain itu katanya tumpuan diberikan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (Pati), di samping penyeludupan barangan terlarang seperti dadah.

“Kita periksa setiap kenderaan berat seperti lori dan bas bagi memastikan aktiviti salah tidak terlepas daripada sekatan rentas negeri.

“Kita tidak mahu pihak tertentu ambil kesempatan dengan kebenaran diberikan kerajaan dengan melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini.- HARAKAHDAILY 10/6/2020