
JERAI: Sudahlah pendapatan tidak seberapa, sebaliknya lokasi nelayan persisiran pantai mencari rezeki pula diceroboh nelayan pukat tunda rawa.
Ahli Parlimen Jerai Ustaz Sabri Azit berkata, masalah itu dihadapi nelayan pantai di sekitar Yan terutamanya Kampung Ruat.
Katanya, pencerobohan nelayan pukat tunda menyebabkan hasil laut di kawasan berkenaan berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan nelayan persisiran pantai.
“Nelayan tersebut menghadapi pelbagai ancaman sehingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
“Nelayan pukat tunda seolah-olah bebas menangkap ikan di kawasan persisiran pantai dan menyebabkan hasil laut di situ berkurangan,” katanya di sini.
Oleh itu beliau berharap pihak berkuasa memastikan pencerobohan nelayan pukat tunda tidak berlaku lagi di persisiran pantai sehingga menjejaskan nelayan kecil.- HARAKAHDAILY 10/6/2020