Patuhi SOP semasa PKPP – Siti Zailah

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini.

Berikutan banyak kelonggaran yang diberikan dalam PKPP ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menasihati rakyat negara ini supaya sentiasa berdisiplin dan mematuhi setiap arahan kerajaan.

“Apa yang penting dalam suasana PKPP ini, semua pihak perlu disiplinkan diri seperti yang dilakukan ketika PKP dan PKPB sebelum ini.

Advertisement

“Meskipun sudah banyak kelonggaran dibenarkan termasuk merentas negeri, namun SOP seperti penjarakan sosial, tidak berkumpul ramai-ramai dan menjaga kebersihan diri mesti dipatuhi.

“Supaya wabak Covid-19 dapat dibendung dan tidak kembali merebak disebabkan kecuaian kita,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak pandemik berkenaan kerana masih terdapat kes positif harian dicatatkan, walaupun jumlahnya kini hanya satu angka.

Berikutan itu, Zailah berharap, semua pihak dapat memberi kerjasama yang baik dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini supaya negara bebas daripada wabak itu dalam masa terdekat.

“Supaya semua aktiviti ekonomi dapat kembali seperti sedia kala termasuk aktiviti pendidikan dan sosial,” ujarnya lagi.- HARAKAHDAILY 10/6/2020