PKPP: Kuarantin 14 hari di rumah masing-masing

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara boleh menjalankan proses kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejurus tiba di pintu masuk sempadan negara, mereka akan menjalani saringan Covid-19, sekiranya positif akan terus dihantar ke hospital dan bagi yang negatif boleh kuarantin wajib di kediaman masing-masing selama 14 hari.

Bagaimanapun, katanya kebenaran pulang bagi mereka yang negatif adalah selepas keputusan ujian swab dikeluarkan.

“Sekiranya keputusan swab lambat, maka mereka tetap akan menjalani proses kuarantin wajib sementara di pusat kuarantin sehingga keputusan keluar.

“Mesti dapatkan keputusan swab terlebih dahulu baru boleh pulang,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Menurutnya, seramai 8,381 individu yang berada di pusat kuarantin akan menjalani tempoh kuarantin di kediaman masing-masing bermula hari ini selepas disaring dan mendapati keputusan negatif.

Namun, jelasnya setiap yang dibenarkan pulang mesti memuat turun aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan sebelum dibenarkan pulang .- HARAKAHDAILY 10/6/2020