Presiden PAS cerdik, tak banyak songeh

ADA beberapa perkara yang saya rasa dapat saya ketengahkan bagi bacaan semua berkenaan dengan keadaan wabak COVID-19 yang menghampiri kepada pengakhirannya. Ia berkaitan rapat dengan keadaan kita pada sesetengah isu dalam kehidupan kita dahulu. Hampir sama caranya dengan bagaimana kita menghadapi tekanan bagi beberapa tekanan yang berlainan.

Advertisement

Paling ketara ialah berkenaan dengan pengurusan masjid. Sungguh, rakyat Malaysia cintakan masjid. Berdasarkan komen-komen, pandangan-pandangan yang bukan sahaja di Facebook saya, malahan di dalam banyak kumpulan Facebook atau WhatsApp yang saya sertai. Hal inilah yang paling banyak diutarakan oleh mereka yang bagi saya sebagai ‘kaki masjid’. Alhamdulillah.

Saya yakin anda semua akan bersetuju dengan saya mengenai hal ini. Apabila kerajaan mengarahkan semua duduk di rumah, kita sama-sama menjaga arahan itu untuk dipatuhi. Apabila ada orang yang ditangkap, didenda atau ditularkan berkenaan kesalahan mereka tidak mematuhi arahan tinggal di rumah, kita, sama-sama menyokong kerajaan. Pesalah ini adalah orang yang degil, bakal memberi kesusahan kepada negara, mungkin akan datang lagi kluster-kluster lain dan menyebabkan sekatan makin panjang.

Tiada kelihatan sokongan atau simpati kepada pesalah, walaupun mereka memberi alasan untuk pergi ke rumah ibu bapa atau ada kematian. Malah siapa yang menyokong itu pula akan dimarahi bersama pesalah. Tetapi apabila masuk kepada isu masjid, ianya tetap tidak banyak berubah dari paten kritikan-kritikan yang lalu terhadap ulamak. Berbagai ketidakpuasan hati akan diluahkan dengan berbagai bentuk dan tindakan.

Dalam hal ini, ianya jelas tidak terhenti. Akan ada sahaja yang mempertikaikan arahan pengosongan masjid dan surau. Yang pasti, ia bukan datang dari ilmuan. Saya memerhatikan semenjak dahulu, apabila ada isu-isu besar dalam agama, golongan yang jahillah yang banyak memberikan komen, kritikan, kutukan, perbalahan, cacian atau makian kepada lawan yang mereka tidak bersetuju itu, melebarkan lagi sengketa.

Saya heret isu ini kepada contoh perbezaan mazhab. Yang bukan ahli, wah, sepertinya memahami, menafsir dalil apabila berhujah, sedangkan ia hanya ‘copy paste’ dari orang lain yang dia sendiri tidak faham asasnya. Dia akan menjadi tukang sorak yang bermati-matian akan mempertahankan pihaknya. Golongan ini amat baik untuk dijadikan pasukan pertahanan bagi pihak berkelahi kerana sikapnya itu. Baginya lawan adalah salah, tiada betulnya. Mereka terperangkap dengan tindakan mereka sendiri.

Ada seorang insan yang baik. Kuat beribadat. Ramai menghormatinya. Suatu hari, dalam bulan Ramadan, salah seorang lagi rakannya sakit dan terpaksa ke hospital. Disebabkan dia perlu dibedah, maka dia terpaksa membatalkan puasanya. Walaupun cuba untuk menangguhkannya pada sebelah malam, namun dia gagal. Terpaksa juga dilakukan disiang hari. Rakan yang baik dan kuat beribadat tadi merasa kesal dengan apa yang menimpa rakan saya yang sakit itu.

Lalu dia mengeluarkan hadis mengatakan puasa Ramadan apabila ditinggalkan, walaupun seumur hidup cuba digantikan, maka ianya tidak sama. Begitulah dia mensyarahkan hadis itu kepada rakan yang sakit. Sedangkan dalam al-Quran jelas mengatakan apabila sakit, musafir, menyusu diharuskan berbuka, tiada kurang pahala, tiada dosa. Malah pada sesetengah keadaan wajib berbuka. Hadis itu disalahtafsirkan oleh bukan ahlinya.

Dalam satu permusafiran, ada empat orang di dalam kereta. Mereka berbincang mengenai jamak dan qasar. Lalu salah seorang mengatakan bahawa adalah elok untuk tidak qasar solat sewaktu musafir kerana jumlah solat menjadi kurang. Dibalas oleh seorang lagi rakannya, qasar itu adalah hadiah dari Allah. Tetapi dia tetap berkeras mengatakan adalah lebih baik solat tamam kerana ia lengkap. Lagipun tiada sebarang kesusahan pada zaman ini sewaktu bermusafir. Akhirnya ada yang meninggikan suara, merekapun diam. Lojik padanya, empat lebih baik dari dua, dapat pahala lebih. Itu fahamnya.

Dalam isu hudud dahulu, yang selalu digunakan untuk membelasah PAS, sering kedengaran soalan bertanya, kenapa tidak dilaksanakan hudud setelah memerintah Kelantan, kemudiannya Terengganu dan Kedah. Apabila dijawab ianya melibatkan Perlembagaan Negara yang memerlukan sokongan di Parlimen dan PAS tidak akan melanggar undang-undang negara, mereka pun bertanya, kenapa takut? Adakah takut kepada manusia melebih takut kepada Allah untuk laksanakan hudud?

Dan sekarang paku buah keras dikembalikan. Kenapa kamu tidak melakukan solat berjemaah sama ada di masjid, surau atau tempat berkumpul lain setelah arahan dari kerajaan melarang berkumpul? Sebagai contoh, solat Jumaat itu adalah wajib berjemaah. Kenapa masih menunggu kerajaan mengeluarkan arahan pembukaan? Lakukanlah sebelum arahan itu. Bukankah kamu mahu beribadat? Atau adakah kamu takut? Takut kamu itu kepada Allah atau mahkluk? Takut denda RM1,000? Sedangkan kamu mengerjakan rukun Islam.

Cuba memperbodohkan

Mungkin bagi sesetengah orang, tulisan saya di atas dianggap sebagai cubaan memperbodohkan orang yang bijak. Mereka ada banyak ilmu, jadi jangan cuba untuk memperlekehkah keintelektualan mereka. Baik, saya cuba memberikan contoh yang lebih ‘cerdik’ dan masuk akal. Dalam isu COVID-19, mengikut arahan ulil amri adalah kewajipan. Lama mana, bila, itu adalah keputusan yang dibuat secara kolektif, bukan sembarangan.

Kita hanya seorang, kemudiannya tiada ilmu pula. Tetapi kita melawan sekumpulan manusia berilmu. Ia ibarat seorang buta, memegang gajah. Kemudian dia cuba mengajar si penjaga gajah yang celik perihal gajah itu menggunakan sentuhannya tadi. Alangkah dangkalnya. Sebenarnya isu ini amat mudah. Saya hanya melihat kepada Presiden saya yang saya kasihi. Betapa masjid beliau yang dibina puluhan tahun bagi menyebarkan ilmu dan juga untuk diimarahkan, beliau menutupnya atas dasar mengelak dari bahaya.

Sanggup Tuan Guru mematuhi arahan kerajaan, mengadakan kuliah secara _online_. Menutup pintu masjid Rusila dari solat berjemaah, menutup sekolahnya bagi mengelak mudarat, sesuai dengan kehendak agama, sekali gus menutup pintu fitnah. Sehinggalah diumumkan masjid akan dibenarkan dibuka tidak lama lagi bagi solat, tiada sepatah kritikan, komen atau tunjuk pandai beliau melawan arahan kerajaaan, walaupun beliau sememangnya pandai.

Jika tauladan dari Presiden parti sendiri gagal dihidu untuk dipatuhi oleh ahli, maka apa gunanya mendukung perjuangan agama beliau selama ini? Tidakkah ada sekelumit malu dalam diri? ‘Tunjuk pandai’ kita kepada fatwa sekumpulan ulamak walau kita jahil dengan tunjuk patuh Presiden kita dengan arahan bagi keselamatan umat itu, walau dia berilmu? Adakah juga ulamak lain membantahnya? Setahu saya tidak. Bergunakah dalil ini?

Dahulu ketika dunia Islam memuji Presiden PAS, kita begitu bangga menerima hamburan kata pujian itu. Kita mengulanginya, membuat poster. Bila beliau dilantik menjadi duta khas, kita laungkan betapa sesuainya jawatan itu berdasarkan ilmunya yang tinggi. Tetapi bila beliau mengamalkan ilmu itu, kita tiba-tiba jadi bingung, hilang punca. Maka sentiasalah berlegar ruang memberontak dalam jiwa kita kerana tiada ilmu.

Para ulamak memahami akan pahala yang didapati bagi mereka yang melazimi beribadat. Pahala itu juga akan terus memenuhi kantung amalan kita jika kita ada keuzuran syarie untuk melakukannya. Ini adalah saguhati dari Allah kepada hamba yang Dia sayang. Jangan kita memaksa orang mengikut kehebatan iman kita. Kita mampu solat 1,000 rakaat sehari, tidak perlu menyuruh orang lain juga solat 1,000 rakaat. Kerajaan masih tidak mampu membuka masjid atas beberapa alasan ketat, maka jangan kita paksa.

Begitulah berpusing-pusing kita dalam lingkup kejahilan kita. Apa yang memandu kita untuk bertindak sedemikian? Pada kebanyakan keadaan untuk menunjukkan keimanan kita. Mempamerkan keikhlasan kita. Mempertontonkan kecaknaan kita terhadap agama. Malah jauh dari itu, terkadang atas dasar semangat dan ‘keimanan’ itu, kita sanggup juga memaki, mencaci, menghina golongan yang tidak semazhab, tidak sealiran, tidak seperguruan atau tidak sekuat iman kita. Itulah wajah sebenar iman kita.

Kini masjid akan dibuka setelah puas mereka membandingkan dengan premis-premis lain. Ya seperti yang saya sebut tadi, anda hanya berfikiran lojik, berseorangan, sementara mereka sekumpulan yang kita percayai tidak berniat untuk melakukan khianat terhadap syiar agama. Maka datanglah apa-apa lojik sekalipun dari otak anda itu, bagi mengiyakan saranan anda untuk masjid dibuka sebelum masanya, ianya tidak akan sama dengan keputusan mereka yang dibuat secara menyeluruh.

Selamat beribadat dengan khusyuk, tawadhuk, ikhlas, tenang dan dengan ilmu yang benar. Semua yang dilakukan, jika tanpa ilmu, akan sia-sia. Kejahilan itu adalah musuh Islam. Sama-samalah kita memeranginya. Semoga amalan kami dan amalan kamu diterima Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 10/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.