Sasar B40, M40 terkesan PKP – Pengerusi TEKUN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, secara rasminya dilantik sebagai Pengerusi TEKUN Nasional baharu hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang melepaskan jawatan tersebut pada 15 Mac lalu.

Advertisement

Shaharizukirnain berkata, beliau akan cuba membantu rakyat dan meneruskan mana-mana yang baik telah dibuat oleh pengerusi lepas.

“Sasaran kita golongan B40 dan M40 terutamanya yang terkesan dengan PKP baru-baru ini. Saya akan cuba membuat kerjasama dengan setiap agensi yang berkaitan terutamanya di peringkat negeri-negeri.

“Saya bercadang untuk membuat lawatan rasmi ke negeri-negeri dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Kerajaan Negeri disamping berdialog bersama para usahawan secara terbuka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau akan mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional dalam masa terdekat bagi merangka pelan strategik baharu disamping menambahbaik segala sedia ada untuk meningkatkan prestasi TEKUN dalam membantu usahawan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan dan amanah yang diberikan ini.

“Saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggalasnya sebaik mungkin,” tegas beliau selepas sesi taklimat oleh Pengarah Urusan TEKUN, Dato’ Adam Abdul Ghani di Menara TEKUN semalam. – HARAKAHDAILY 10/6/2020