Becang-becok PH bila kembali jadi pembangkang

Tunjuk kelaku kemaruk jawatan walaupun setelah hilang kuasa

NEGARA akan diheret ke kancah kemelut yang mengakibatkan ketidakstabilan seandainya terdapat pemimpin-pemimpin parti politik terus menunjukkan sikap kemaruk terhadap kedudukan jawatan. Wibawa dan integriti para politikus juga akan semakin hilang penghormatan dari rakyat sekiranya kuasa dilihat menjadi hambatan yang lebih ghairah diburui.

Advertisement

Sedangkan Malaysia sudah berputar dalam bulatan sama berulang kali, sekurang-kurangnya dalam empat perkara besar. Iaitu pelbagai fitnah dan skandal yang dimomokkan ke dunia antarabangsa; kedudukan kewangan merosot yang mempengaruhi keyakinan pelaburan; bayangan politik atas sistem kehakiman; dan pertukaran demi pertukaran kerajaan-kerajaan dalam kurang dua tahun sejak PRU14 hingga kini.

Setakat ini ia masih berpunca dari kacau-bilau ‘ditaja’ mereka yang hilang kuasa. Tapi amat harus semua pihak waspadai adanya golongan yang sentiasa menunggu peluang meranapkan sistem negara ini dan mengundang ‘penjajahan’ terancang tanpa disedari. Itulah iktibar mesti dilihat sepanjang kurang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara sebelum ini walaupun dengan majoriti yang sedikit.

Buruknya, pelaku-pelaku keriuhan politik mutakhir kebelakangan ini telahpun terdahulu menerima teguran nasihat Titah Diraja daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu. Bahkan sangat buruk kerana rakyat semakin sangsi kepada perubahan angka nombor didakwa dimiliki politikus yang menimbulkan syak adanya ‘tawaran jual-beli’ tidak bermaruah.

Pun begitu, angka tipis dimiliki kerajaan memerintah ketika ini dari gabungan Perikatan Nasional tidak seharusnya digugat oleh kepentingan yang terserlah oleh perebutan kuasa atau jawatan. Kerana yang jadi mangsanya ialah rakyat dan lebih dibimbangkan adalah Malaysia tidak lagi diyakini warga dunia disebalik reputasi telah dicipta sejak merdeka. Oleh itu ahli politik diingat supaya memainkan peranan ‘semak dan imbang, bukannya menjadi ‘makhluk perosak’.

Pergolakan politik juga tidak sewajarnya berlaku dalam situasi semua pihak sedang berada dalam ancaman COVID-19 ketika ini kerana risiko dipertaruhkan adalah nyawa. Negara hilang fokus menangani bahaya ini lantaran kerajaan lalu berkecamuk dek desakan peralihan kuasa Perdana Menteri. Walhal sejak laporan kes rasmi pertama di Wuhan China awal Disember tahun lalu, angkatan Kesihatan negara terus bersiaga seawal Januari.

Malangnya, keseluruhan kepakaran tersebut hanya dapat benar-benar difungsikan tanpa campur tangan politik selepas pertengahan Mac. Inilah bukti nyata, usaha menangani COVID-19 gagal ditadbir Pakatan Harapan (PH) semasa berkuasa dan ia tidak relevan untuk dituduhkan kepada ‘Langkah Sheraton’, konon sebagai punca merebaknya jangkitan.

Virus gila kuasa dan jawatan itulah hakikat menyebabkan pandemik di negara ini. Jika lebih awal diserahkan kemampuan tersebut kepada pasukan barisan hadapan perubatan dan kesihatan negara, ia tidak akan berstatistik sebagaimana dilalui. Namun, hal telah berlaku ini jadikanlah pengajaran dan kini tidak sepatutnya urus tadbir kerajaan cuba digoncang lagi.

Situasi tersebut tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya keasyikan pihak terbabit mencatur nombor boleh menyebabkan sistem negara secara perundangan dan kemungkinannya berkedudukan menjadi tergantung.

Awas DAP ‘mengintai’ peluang

Pendedahan bahawa BERSATU pernah diarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengurangkan pengaruh DAP semasa mereka masih bersama dalam PH menjadi antara penjelasan rapuhnya hubungan dalam koalisi itu. Ia menyerlah betapa DAP adalah beban dan masalah terbesar yang berlagak untuk mencengkam hingga menimbulkan ketidakselesaan terhadap Tun selaku Perdana Menteri ketika itu.

Natijahnya melanda seluruh rakyat termasuk para pengundi PH yang menaruh harapan perubahan ke arah “Malaysia Baharu”, tetapi dikecewakan oleh segala janji dimungkiri. DAP yang tamakkan kuasa melecehkan banyak kepentingan rakyat dari dilaksanakan, sebaliknya sibuk berpolitik menyalahkan pentadbiran sebelumnya, merebut jawatan dan mengatur peralihan kuasa.

Hinggakan seperti didedahkan Setiausaha BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, perancangan untuk parti itu keluar daripada PH diarahkan sendiri oleh Tun. Maka ianya titik kewajaran, bahawa PH bukan sahaja hilang majoriti menerusi pendirian tersebut, malah kewujudan kerajaan baharu adalah perlu sebagai memenuhi vakum kosong ditinggalkan tersebut dalam konteks demokrasi dan Perlembagaan Negara.

Malah, berdirinya kerajaan baharu dalam keadaan tersebut amat perlu demi menyelamatkan negara dari porak peranda politik hasil jarum-jarum jahat dan merosak yang diangkarakan DAP sebelum itu. Imbas semula, berapa banyak kepentingan negara khususnya melibatkan tonggak agama yakni Islam serta bangsa Melayu dan Bumiputera, termasuk kedudukan Raja-raja dan Bahasa Kebangsaan dicabuli juga cuba dimansuhkan haknya oleh peranan parti cauvinis itu.

Inilah agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang bersembunyi disebalik slogan dan retorik politik, serta paling besarnya adalah fitnah dan adu-domba didalangi mereka dalam cara berpolitik. Ia adalah bahaya dan malapetaka yang mesti diingati dalam sejarah negara. Di mana racun dan api politik melampau yang gigih dinyalakan DAP dengan sumbu perkauman. Ya, DAP banyak berdiam selepas tumbangnya PH, tetapi sikap dalang mereka masih menguasai kem PH.

Lantaran itu, drama politik yang diwayangkan diawal Syawal ini mesti difahami dan dilihat oleh seluruh rakyat khususnya ahli-ahli politik pemimpin Melayu-Islam supaya berwaspada. Jangan diulangi kesilapan bersengketa dan merebut kedudukan jawatan hingga membuka peluang dan melorongkan semula jalan untuk membolehkan DAP berkongsi atau kembali meraih kuasa.

Ketika ini parti tersebut hanya menunggu masa meraih kesempatan yang boleh kembali terjadi dengan meluaskan gerakan ‘pecah perintah’ dari teraju pemerintahan negara hingga kepada rakyat akar umbi. Seluruh rakyat, perkhidmatan awam, institusi negara dan lebih-lebih lagi pemimpin politik Malaysia yang cintakan negara wajib berpadu untuk tidak terjerumus dalam lubang jerangkap samar sedang dicipta ketika ini.

Wajib bagi semua pihak yang cintakan keharmonian hidup masyarakat majmuk dan ketenteraman awam serta keamanan tanah air untuk bersolidariti. Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara mesti terus diperkasa. Ketika sama berwaspada terhadap ancaman dari dalam negara sendiri yang boleh menjadi pengkhianatan dan memungkinkan gugatan terhadap keselamatan kedaulatan negara dari campur tangan asing.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 11/6/2020