Dimensi politik sejarah Al-Azhar, Ikhwan Muslimin

SEJARAH awal

(1) Antara yang menjadi perselisihan pada hari ini ialah dua institusi besar yang berpengaruh, yang mana dahulunya tidak bertembung. Kedua-duanya ialah al-Azhar dan Ikhwan. Kedua-duanya di Mesir, dan melahirkan ramai pelapis ke seluruh alam.

Pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di Mesir, sudah pasti terkesan dengan kedua-duanya. Lantas apabila ‘dipertembungkan’, lahirlah perpecahan di kalangan pelapis-pelapis yang lahir daripada kedua-dua rahim ini.

(2) Pernah tak kita terfikir mengapa wujudnya pertembungan ini? Jika saya ketengahkan isu dalaman al-Azhar, pasti kelahiran daripada universiti ini akan mengecam saya. Jika saya ketengahkan isu dalaman Ikhwan, pasti kelahiran daripada madrasah ini akan mengecam saya.

Justeru, eloklah kita ambil dari sudut yang lebih luas, agar kedua-dua pihak dapat memahami kerencaman di sebalik tabir. Dalam masa yang sama kita tahu bahawa kedua-duanya mempunyai manhaj yang jelas, dan dianggotai oleh ribuan ilmuan Islam.

Advertisement

(3) Mesir dibuka oleh Amru al-Ash pada 639, kemudian pada 910 Mesir dikuasai oleh Syiah Ismailiyyah setelah mana kejatuhan Kerajaan Aghlabiyyah. Manakala Salahuddin al-Ayyubi membina Daulah Ayyubiah (termasuk Mesir) pada 1169.

Kerajaan Ayyubiah jatuh pada 1250 manakala Khilafah Abbasiah (Baghdad) jatuh pada 1258. Mamalik yang muncul pada 1250 meng’claim’ mereka adalah penerus kepada Khilafah Abbasiah. Kerajaan Mamalik memerintah Mesir antara 1250 hingga 1517.

(4) Pada 1517 Mesir ‘diambil-alih’ oleh Khilafah Uthmaniah atas alasan Mamalik bekerjasama dengan Portugis dan mengancam dunia. Kemudian Mesir diserang oleh Perancis pada 1798 dan selepas itu Mesir dimasuki British.

Ia berlarutan sehinggalah Mesir akhirnya jatuh ke tangan British pada 1914. Iaitu ketika mana Khilafah Uthmaniah berada di ambang ‘kegoyangan’. Pertembungan Uthmaniah dengan British ini turut berkaitan dengan gerakan Imperialism.

Zaman Napoleon Bonaparte

(1) Dalam konflik politik dan Imperialism ini, sedikit sebanyak melibatkan al-Azhar yang berada di Mesir ketika itu. Antaranya ketika kemasukan Napoleon Bonaparte (Perancis) pada 1798, beliau mengadakan pertemuan dengan para ulamak al-Azhar.

Rundingan tersebut mencapai persetujuan dengan penubuhan sebuah majlis yang dinamakan ‘Diwan’ dengan anggotanya terdiri daripada golongan ulamak yang digelar ‘Shaykh’. Diwan yang dinamakan oleh Perancis sebagai ‘Diwan Kaherah’ telah ditubuhkan pada 25 Julai 1798.

‘Diwan Kaherah’ ini merupakan sebuah majlis perwakilan yang dianggotai oleh sepuluh orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada golongan ulamak. Shaykh ‘Abd Allah al-Sharqawi yang merupakan rektor al-Azhar ketika itu dipilih untuk mengetuai ‘Diwan’ tersebut.

(2) Kesan negatif yang paling jelas terhadap kemasukan Perancis di Mesir ialah kebangkitan rakyat dalam satu pemberontakan yang dikenali sebagai ‘Pemberontakan Kaherah’ yang terjadi pada 21 Oktober 1798M.

Antara puncanya ialah ketidakpuasan hati rakyat terhadap kadar cukai dan pengisytiharan ‘Perang Jihad’ ke atas Perancis oleh Sultan Salim III yang disampaikan melalui Ahmad Pasha al-Jazzar, Gabenor Syria pada 11 September 1798.

Para pemberontak telah menjadikan al-Azhar sebagai markaz gerakan dan penentangan diketuai oleh Shaykh Muhammad al-Sadat, seorang ulamak yang berpengaruh ketika itu. Sebagai tindak balas, Napoleon mengarahkan supaya persekitaran al-Azhar dibom.

(3) Di sebalik tabir peristiwa ini, hakikatnya penjajahan Perancis di bumi Mesir 1798 menarik minat British. Lantas British ‘berbisik’ dengan Uthmaniah untuk menghalau Perancis dari Mesir. Atas alasan Uthmaniah mesti mendapatkan semula haknya di Mesir.

British kemudiannya berpakat dengan Alfi Bey sekitar tahun 1806 sebagai langkah menguasai Mesir. Hasil perhubungan tersebut, pihak British sanggup membantu Alfi Bey untuk menguasai Mesir dengan syarat selepas beliau berjaya, pihak British perlu diberi peluang menguasai pantai-pantai Mesir.

Konflik zaman British

(1) Projek British tergendala apabila Alfi Bey meninggal dunia pada 1807. Namun British meneruskan hasil pakatan tersebut dengan memasuki Mesir dengan tentera-tenteranya. Hal ini telah mengheret kepada penentangan oleh Mesir.

Penentangan terhadap British selepas itu telah diperhebatkan lagi apabila Naqib al-Ashraf al-Sayyid ‘Umar Makram membakar semangat rakyat Mesir dan pelajar-pelajar al-Azhar menyebabkan tentera British menyerah kalah pada 1807.

(2) Percubaan kali pertama yang gagal ini diteruskan lagi dengan rundingan demi rundingan antaranya pada 1840 sehinggalah akhirnya Mesir jatuh juga ke tangan British pada 1914 dan menguasainya sehingga 1922.

1922 adalah tahun kemerdekaan Mesir bawah Wangsa Muhammad Ali di 1922 berikutan Perisytiharan Kemerdekaan Unilateral Mesir bersama United Kingdom. Kemudian pemerintahan Beraja ini tamat pada 1953, Mesir bertukar menjadi Republik.

(3) Imam Hassan al-Banna yang mengasaskan Ikhwan Muslimin hidup dalam suasana Mesir ketika zaman penjajah British sehinggalah British memberi kemerdekaan kepada Mesir dengan syarat yang ketat. Beliau melihat realiti zamannya.

Umat Islam di zamannya bergelumang dengan perpecahan, semangat
Nasionalis yang melampau. Termasuk juga agenda pembaratan di Mesir dan kebanyakan Negara Negara Islam atas slogan Modernism, dan serangan Sekularism yang kuat.

(4) Pada 1919, di ambang kejatuhan Mesir ke tangan British, kejatuhan Uthmaniah, pasca Deklarasi Balfour dan Sykes-Picot, pasca Revolusi Agung Arab, dan banyak lagi, Imam Hassan al-Banna menyertai demonstrasi menentang pemerintahan British.

Ketika munculnya Ikhwan Muslimin, pada peringkat permulaannya hanya dilihat sebagai kumpulan kerohanian sahaja. Kemunculan Ikhwan Muslimin pada peringkat permulaannya ‘terikat’ dengan suasana penjajahan British.

Kemunculan Ikhwan Muslimin

(1) Suasana politik atau kerencaman penjajah ini sedikit sebanyak menyebabkan tertubuhnya Ikhwan Muslimin pada 1928 apatah lagi setelah kejatuhan Uthmaniah itu sendiri. Dalam masa yang sama al-Azhar terus melahirkan ilmuannya, walaupun agak terencat di era-Imperialism.

Sebelum tertubuhnya Ikhwan Muslimin, Imam Hassan al-Banna banyak mengikuti tareqat kesufian, antaranya al-Ikhwan al-Hasafiyyah seawal umur 12 tahun dan mengikuti kumpulan ini lebih serius pada 16 tahun.

(2) Beliau semakin serius dalam arena dakwah di kala pemerintahan British dan di era kejatuhan Islam. Di era ini jugalah beliau mula mengenali beberapa tokoh seperti Muhibuddin Khatib, Muhammad Rashid Redha dan ramai lagi.

Muhibuddin Khatib (Salafi) terkenal dengan dengan Pro Syariff Hussein menentang Turki Uthmaniah. Selepas pertembungan team Syariff Hussein dengan Uthmaniah, Syariff Hussein bertembung pula dengan Muhammad bin Abd Wahab (Salafi).

(3) Dalam catatan saya tadi, menggambarkan suasana penjajahan Mesir VS Perancis, kemudian Mesir VS British, dalam masa yang sama wujudnya Mesir VS Uthmaniah. Berperang dengan musuh luar, dalam masa yang sama berkonflik sesama umat Islam.

Selain Syarif Hussein VS Uthmaniah, Mesir juga VS dengan Uthmaniah antaranya pertempuran di Nezib pada 1839. Mesir dipimpin oleh Hafiz Pasha mengalahkan Uthmaniah dalam masa 4 jam. Konflik dalaman sesama Umat Islam.

(4) Hakikatnya, konflik dalaman Umat Islam ini sangat panjang untuk dihuraikan di sini. Tambahan pula semangat Nasionalism yang ada di kalangan orang Arab mengheret kepada Revolusi Agung Arab 1916-1918.

Sebab itulah frame yang dibawa oleh Imam Hassan al-Banna di awal penubuhannya dalam skop kesufian dan kesatuan Islam. Kesufian cuba dibawa bagi menghadapi gerakan pembaratan (Modernism) manakala kesatuan Islam bagi menghadapi perpecahan.

Orientalis

(1) Kesimpulannya, kedua-dua institusi ini tidak boleh dinafikan jasa dan sumbangan terhadap pengaruh dunia Islam.

(a) al-Azhar telah melahirkan ribuan ilmuan sejak ditubuhkan pada 970 atau 972 Masihi oleh Daulah Fatimiyyah yang beraliran Syiah. Kemudiannya berubah kepada aliran ASWJ sejak zaman Salahuddin al-Ayyubi, sehinggalah hari ini.

(b) Ikhwan Muslimin pula ditubuhkan oleh Imam Hassan al-Banna pada 1928 dan makin disertai oleh mahasiswa al-Azhar sejak perpindahan pusat mereka dari Ismailiyyah ke Kaherah pada 1933 yang menekankan aspek kesufian.

(2) Suasana kewujudan kedua-dua institusi ini jauh berbeza, al-Azhar dikatakan ditubuhkan oleh Daulah Fatimiah disebabkan persaingan politik sesama negara Islam. Iaitu aliran Syiah VS kerajaan pusat (Abbasiah) yang berpusat di Baghdad.

Manakala suasana kewujudan Ikhwan Muslimin pasca kejatuhan Khilafah Uthmaniah, yang menyaksikan kehilangan besar kuasa politik Umat Islam. Maka, antara fokus utama Ikhwan Muslimin ialah mengembalikan kedaulatan Islam.

(3) al-Azhar sebagai sebuah institusi yang melahirkan ilmuan ke seantero alam. Di zaman kejatuhan Uthmaniah, al-Azhar ‘dikacau’ oleh pemikiran Sekularism apabila pensyarahnya Ali Abdul Raziq menerbitkan buku الاسلام وأصول الحكم.

Hasil usaha Hai’ah Kibar Ulamak ketika itu, menjawab tulisan Ali Abdul Raziq dan mengadakan dialog. Antara dakwaan Ali Abdul Raziq ialah Khilafah itu bukan agenda Islam. Manakala Ali Abdul Raziq sudah terlucut ke’azharian’nya [1].

(4) Bukan sekadar itu, sebelum munculnya Ali Abdul Raziq lagi al-Azhar telah dimasuki oleh Orientalis seperti Goldziher yang dikatakan mengaku sebagai seorang Muslim, dengan nama Ignaz dari Hungary sejak 1873.

Bukan hanya al-Azhar yang menjadi mangsa Orientalis, bahkan institusi lain seperti di Syam dan Makkah turut didatangi oleh kumpulan ini demi mengkaji mengenai Islam. Antara yang masyhur ialah Snouck Hugronje yang mengaji dengan Syeikh Zaini Dahlan (Makkah).

*Insya-Allah kalau ada rezeki, artikel ini akan disambung.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3409666609075075/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/6/2020