Guru PASTI dilanggar, anak nyaris lemas

PARIT BUNTAR: Guru PASTI Kawasan Parit Buntar, Yusnaini Yusof, 40, cedera tulang kaki manakala anaknya yang berusia 3 tahun nyaris lemas selepas tercampak masuk ke dalam parit di jalan tali air Parit Abas, Kuala Kurau, di sini kelmarin.

Advertisement

Namun, dalam kejadian jam 7 petang itu, tindakan pantas seorang penduduk tempatan yang sedang melalui jalan tersebut sempat menyelamatkan anak kecil itu, Nur Fatin Sumaiyyah dari ditenggelam lemas dan dihanyutkan air.

Sementara itu, suami kepada Yusnaini, Mohamad Sani Musa berkata, kejadian berlaku apabila sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan merempuh motosikal yang dinaiki isteri dan anaknya.

“Anak mengalami cedera ringan dan isteri dirawat di Wad D1, Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui wartawan HarakahDaily semalam.

Mohd Sani yang bekerja sebagai operator kilang telur masin berhadapan dengan kesukaran bekerja apabila terpaksa menggalas tanggungjawab isteri untuk menjaga ibunya yang lumpuh.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Shaiful Amir Mohamed Yusof mempelawa mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan ditanggung keluarga mangsa.

Maklumnya, sumbangan bolehlah disalurkan melalui akaun suami Yusnaini BSN 08210-41-00005110-8 Mohamad Sani Musa. – HARAKAHDAILY 11/6/2020

*nombor akaun dipaparkan sebelum ini terdapat sedikit kesilapan dan seperti yang tertera sudah dibetulkan 12 Jun, jam 4:30 petang