Ibadah Haji tangguh ke tahun 2021

KUALA LUMPUR: Ibadah haji untuk rakyat Malaysia bagi musim haji (1441 Hijrah) pada tahun ini akan ditangguhkan ke tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Advertisement

Beliau berkata, keputusan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun 2020, ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Semalam, saya telah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi.

“Selain Malaysia, antara negara-negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan dilakukan adalah bersifat menyeluruh termasuk bagi haji Furada kerana mengambil kira situasi semasa penularan wabak Covid-19 yang tidak memenuhi syarat istito’ah berikutan masih belum ada vaksin ditemui.

“Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah, iaitu berkemampuan menunaikan haji daripada aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.

“Tanpa keupayaan atau kemampuan pada hal-hal yang disebutkan, maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji,” jelasnya.

Di samping itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas usaha bersungguh-sungguh dan penuh gigih dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 di tanah suci.

“Kami sangat menghargai segala pengorbanan kerajaan Arab Saudi dan wira-wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus lumus dalam memerangi wabak ini khususnya untuk dua buah kota suci yang kita cintai iaitu Makkatul Mukarramah dan Madinah AL Munawwarah,” ujarnya.

Seterusnya, Zulkifli Mohamad juga mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan reda dengan keputusan yang diumumkan.

Di samping itu, beliau turut memohon umat Islam di Malaysia bersama memanjatkan doa.

“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua kota suci di Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2020