‘Pool’ satu kereta ke pejabat dibenarkan

KUALA LUMPUR: Kenderaan persendirian kini dibenarkan membawa penumpang bukan dari kalangan ahli keluarga atau daripada rumah yang sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, jumlah penumpang masih dikekalkan bergantung kepada kapasiti kenderaan masing-masing.

Advertisement

“Mesyuarat khas menteri hari ini memutuskan untuk membenarkan kereta persendirian membawa penumpang bukan ahli keluarga bermakna boleh membawa penumpang lain seperti kawan dan sebagainya.

“Misalnya, jika ada yang ke pejabat secara ‘pool’ dalam satu kereta, kini dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian PKPP, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata, bas ekspres dibenar beroperasi dengan kapasiti penuh dan tanpa had masa mulai hari ini, mengikut syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Walau bagaimanapun, jelasnya pengusaha bas perlu mendaftarkan penumpang dalam aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Jika pengusaha bas tidak mendaftar penumpang melalui aplikasi MySejahtera, mereka mesti mengambil nama dan nombor telefon setiap penumpang bagi tujuan pengesanan kontak sekiranya ada perkara berkaitan COVID-19,” katanya.

Selain itu, semua penumpang perlu diperiksa suhu sebelum menaiki bas dan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.- HARAKAHDAILY 11/6/2020