Tragedi menimpa PBS 1994 boleh berulang

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula kelmarin (10 Jun). Ia seumpama mengundurkan semula 1 Syawal ke belakang. Berbondong-bondong anak perantau memenuhi jalan raya.

Selepas 18 hari Aidilfitri berlalu, baru mereka boleh balik kampung. Dendang perantau nyanyian P Ramlee tidak kedengaran lagi. Tiada lagi sedu dan sedih seperti lazimnya berlaku.

Pertama kali anak muda menyambut Aidilfitri di kota. Jarang berlaku sebelum ini. Teringat ayah bonda di kampung. Bendang, bukit luas terbentang bermain di mata. Biasanya akhir Ramadan segenap jalan penuh sesak.

Advertisement

Namun angkara coronavirus kelaziman itu terhalang. Sejak 18 Mac sehingga 9 Jun mereka diikat dengan PKP. Covid-19 bukan calang-calang penyakit. Sehingga hari ini 118 jadi mangsa di negara kita. Sejarah yang tidak berlaku sejak merdeka.

Ada perantau dari Johor Bahru bertolak ke Kota Bharu jam 12 malam dan 9 pagi kelmarin dia melewati sempadan Pasir Puteh dari Jertih.

Normal baharu menyebabkan suasana jadi terbalik. 18 Syawal seumpama 1 Syawal. Fenomena itu berlaku di mana-mana.

Di sebaliknya anak-anak muda dan perantau ‘mencuri’ masa pulang menjengok orang tua, pemimpin politik pula diselimuti angan-angan. Masih berkira-kira mahu menjadi perdana menteri (PM). Ada juga yang mengidamkan jawatan itu sejak 1997 lagi.

Selasa lalu Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan memuktamadkan keputusan mengambil alih kerajaan. Lebih mengejutkan lagi perancangan mengambil alih daripada Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh seminggu.

“Mesyuarat menyaksikan perbincangan tentang pendirian setiap parti menampakkan kemajuan amat positif.

“Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” kata kenyataan PH.

Khabarnya mesyuarat itu turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad. Ia diadakan di ibu pejabat PKR di Merchant Square Petaling Jaya. Dilapor bekas perdana menteri mengadakan pertemuan tertutup dengan Anwar. Hadir sama Mohamad Sabu, Shafie Apdal dan Lim Guan Eng.

Di sebalik igauan politik itu dilapor juga mesyuarat 3 jam itu belum mempunyai sebarang kata putus.

Lebih pelik lagi Dr Mahathir disebut bersikap berdiam diri ketika diasak pemberita semasa beredar pulang.

Gempak

Nampaknya benar-benar gempak. Lebih malang lagi apa yang berlaku itu tidak ke mana-mana. Tang tu tang tu juga. Sebelum ini dilapor pertemuan Dr Mahathir dengan pemimpin PAN, DAP dan Warisan tanpa PKR.

Begitu juga pertemuan Anwar-DAP-PAN-Warisan tanpa Dr Mahathir. Isyarat politik sudah jelas. Politik PH mempersembahkan drama dua nahkota berebut stereng. Sebelum ini PH mendakwa ada sokongan 129 ahli parlimen (MP).

“Mengenai 129 ahli parlimen, atau 130, ini kita (PKR) tak bincang pasal hal-hal ini masih dalam proses, belum muktamad,” kata Anwar.

Dan hari ini pemimpin yang sama pula mendakwa PH ada 107 MP. Presiden PKR mendakwa PH kini mempunyai 107 MP.

Bukan sahaja Pak Mat di kampung pening, malah profesor di universiti pun heleng kepala. Politik kelas mana yang berlaku sekarang.

Kata Anwar sekarang 107 (sokongan) dalam kumpulan ini. Impiannya mara ke depan dalam satu pasukan.

Peliknya ketika angka 129 disembahkan tiba-tiba seorang lagi pemimpin PKR meninggalkan parti.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Anak Muyang menyatakan sokongan kepada PN. Sebelum itu PKR juga kehilangan bekas Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Khabarnya masih ada ahli PKR bakal menjejaki Jugah dan Baru. Sehingga sekarang hanya tinggal dua MP PKR di Sarawak. Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien mewakili Julau dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Itu belum lagi dibelek sejarah politik di Sabah. Sifir menyokong pembangkang tidak membawa kemajuan untuk rakyat boleh berulang semula.

Tragedi itu pernah menimpa Parti Bersatu Sabah (PBS). PBS tumbang kepada BN pada 1994 bisa berulang. Warisan mempunyai 9 MP di Sabah.

Telahan awal Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah seperti mendekati realiti. Katanya sokongan sembunyi membuatkan kerajaan PN semakin kuat.

M. FAQIH- HARAKAHDAILY 11/6/2020