UniMAP benar pelajar ambil barang di kolej

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membenarkan pelajar kategori tertentu kembali ke kolej kediaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.

Kategori yang ditetapkan iaitu pelajar tahun akhir dan pelajar yang akan mengikuti latihan industri.

Advertisement

Kategori kedua pelajar tahun 1,2 dan 3, manakala kategori ketiga pelajar yang akan mengikuti semester pendek dan semester tambahan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, hasil penelitian dan perbincangan yang diadakan pengurusan universiti bersama Pusat Perumahan Pelajar membenarkan pelajar kategori tertentu kembali ke kolej kediaman.

Selain itu katanya pelajar yang ingin kembali ke kolej kediaman atau kompleks perumahan bagi mengambil barang peribadi mereka termasuk kenderaan yang ditinggalkan sebelum pulang ke kampung sebelum ini.

“Namun demikian pelajar perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui https://osi.unimap.edu.my yang dibuka bermula semalam (10 Jun) sehingga 14 Jun ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga pelajar boleh menyemak status kelulusan permohonan penginapan bermula 11 hingga 15 Jun, manakala pergerakan pelajar mengikut tarikh yang dibahagikan kepada tujuh zon.- HARAKAHDAILY 11/6/2020