Ada beza kes Musa dengan LGE

KUALA LUMPUR: Pengguguran kes melibatkan dua figura politik iaitu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (LGE) bukan kes yang serupa dan tidak sesuai untuk dijadikan kayu ukur ketelusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan harapan (PH).

Menurut Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Wan Rohimi Wan Daud, kes membabitkan Musa merupakan kes lama dan telahpun disiasat oleh Suruhanjaya Bebas Rasuah Hong Kong (ICAC).

Advertisement

Jelasnya, ICAC melalui sepucuk surat pada 22 Disember 2011 menyatakan siastan mereka terhadap Musa sudah lengkap dan berdasarkan fakta yang diketahui, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Dalam kes Lim Guan Eng, perbicaraan penuh telah pun berlansung dengan seramai 25 saksi telahpun memberi keterangan. Malah, perbicaraan telah masuk ke penghujungnya.

“Ia (LGE) adalah kes baru, siasatan semasa dan proses perbicaraan pun sudah berjalan dengan sangat baik, dengan 25 saksi. Jadinya, tidak sama jika nak dibandingkan dengan pengguguran kes LGE dan Musa Aman ini kerana kes Musa Aman ini, kes lapuk yang telah ditutup pun, dan belum bicara lagi.

“Kes LGE ini kes yang semasa, jadi itu pun dah menunjukkan bahawa jauh berbeza antara keduanya,” jelasnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Mengulas lanjut, menurut Wan Rohimi, keputusan untuk membebaskan Musa ketika itu malah dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu bekas Ketua Bahagian Pendakwaan, Dato’ Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammad dan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Dato’ Seri Mustafar Ali.

Jelasnya, ketika keputusan dibuat, Pejabat Peguam Negara menyimpulkan bahawa dapatan siasatan tidak mempunyai elemen rasuah dan wang yang disalurkan ke dalam akaun bank tertuduh adalah wang sumbangan politik.

“Jadi, oleh kerana itu, Tan Sri Abdul Ghani telah menutup siasatan itu kerana tidak ada elemen rasuah, begitu juga siasatan yang dilakukan oleh ICAC yang juga telah membuat dapatan, kesimpulan, bahawa Tan Sri Musa Aman tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Jadi mereka buat dapatan, selesai, kes ditutup, cuma selepas PH mengambil-alih, ia dibuka semula dan Tan Sri Musa Aman dituduh atas kesalahan yang lapan tahun telah selesai dan fail pun telah ditutup.

“Jadi selepas Peguam Negara baru, Tan Sri Idrus Harun menerima surat representasi dan juga permohonan untuk membatalkan kes oleh peguam Tan Sri Musa Aman, Peguam Negara telah menilai kembali fakta-fakta itu dan menimbangkan bahawa ada kesukaran untuk membuktikan kes.

“Ia termasuk ada saksi yang telah meninggal dunia, berkemungkinan sakit, tidak ada di Malaysia, serta dokumen-dokumen bank juga telahpun dilupuskan,” jelas beliau.

Malah kata Wan Rohimi, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara juga turut mempertimbangkan alasan serta afidavit yang dikemukakan oleh Abdul Ghani yang mana turut memperihalkan mengenai status siasatan yang telahpun ditutup.

Justeru itu, mengambil kesemua pandangan tersebut serta pertimbangan undang-undang, Pengerusi LUHAM itu percaya bahawa tindakan Peguam Negara berhubung pengguguran kes Musa adalah keputusan yang betul.

Tan Sri Idrus Harun menerima afidavit yang dikemukakan Abdul Ghani pada 5 Jun yang mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 2012, untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Musa Aman.

Selain afidavit Abdul Ghani, perkembangan terbaru dalam kes itu berkaitan dokumen saksi juga, tidak mewajarkan kes itu diteruskan.

Jabatan Keadilan Hong Kong turut memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara bahawa syarikat dan bank di negara itu hanya dikehendaki menyimpan rekod selama tempoh tujuh tahun.

Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta, dan 16 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta serta S$2.5 juta.

Musa didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak yang berjumlah AS$63.3 juta.

Mengikut pertuduhan, wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberi kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank serta institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.- HARAKAHDAILY 12/6/2020