Bil elektrik tinggi rujuk kepada TNB – Ahmad Amzad

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dan pengguna bil elektrik yang tinggi serta merasakan kurang munasabah daripada sepatutnya, disaran mendapatkan penjelasan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau mengikuti perjalanan isu caj bil elektrik yang dikatakan tinggi serta menjadi rungutan rakyat itu.

Menurutnya, kemungkinan kekeliruan berlaku oleh pengguna dalam memahami Teknik pengiraan bil elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Advertisement

Ini kerana, katanya pengguna menerima bil yang luar biasa tinggi dari kadar sebelum PKP untuk tempoh tiga bulan Mac, April dan Mei lalu.

“Bila jumlah bil untuk tiga bulan sepanjang PKP dan dibahagikan kepada tiga bulan untuk mendapatkan purata sebulan, purata sebulan itu sangat ketara luar biasa tingginya berbanding bil bulanan yang biasa sebelum PKP.

“Pada pandangan saya ada kekeliruan dalam memahami teknik pengiraan bil elektrik sepanjang tempoh PKP itu.

“Saya juga mohon jasa baik pihak TNB membuat semakan semula bil yang dibuat aduan bagi meredakan keresahan rakyat,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Menurutnya, rakyat perlukan penjelasan sama ada kemungkinan berlaku kesilapan teknikal oleh pihak TNB dalam melakukan pengiraan atau mungkin hanya sebahagian pengguna terlibat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berpendapat, jika ada kelemahan dalam kaedah pengiraan tarif perlu mencari jalan penyelesaian yang tidak membebankan rakyat.

“Saya dimaklumkan mekanisme pengebilan ini juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia).

“Pihak kerajaan juga telah mengeluarkan beberapa solusi untuk meringankan beban rakyat iaitu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengadakan mensyuarat dengan pihak TNB pada 1 Jun 2020.

“TNB tidak mengenakan caj yang berlebihan kepada para pengguna dan sekiranya terdapat lebihan bayaran, ia akan dikredit atau dipulangkan semula kepada pengguna.

“Tiada sebarang aktiviti pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan sehingga 31 Julai 2020, sekiranya pengguna elektrik lewat membayar bil elektrik mereka.

“Pelan Bayaran Mudah, ansuran sehingga 31 Disember 2020 dan Diskaun Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020 ini,” jelasnya.

Selain itu, katanya orang ramai dan pengguna elektrik boleh menghubungi pihak berkenaan di talian Careline TNB 1-300-88-5454 bagi mendapatkan penjelasan atau terus ke kaunter TNB.

Sumber Harakah memaklumkan, bil anggaran TNB dikira secara Prorata yang diluluskan Suruhanjaya Tenaga bagi bulan Mac, April dan Mei berdasarkan penggunaan elektrik pada bulan sebelumnya.

Namun, mulai 15 Mei 2020 lalu, operasi membaca meter telah disambung semula dan bil sebenar dikeluarkan berdasarkan penggunaan sebenar elektrik bagi bulan-bulan sebelumnya.

Jumlah bil sebenar mungkin lebih tinggi daripada bil anggaran memandangkan pengguna berkenaan berada di rumah sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu.

Walaupun bayaran bagi bil anggaran telah dilakukan oleh pengguna, pelarasan semula akan dilakukan bagi jumlah bil anggaran dan bil sebenar pada bulan berikutnya.- HARAKAHDAILY 12/6/2020