Kedai gunting rugi RM30,000 sepanjang PKP

KOTA BHARU: Pemilik kedai gunting ‘DC Stylo Barbershop’ mendakwa mengalami kerugian hampir RM30,000 kerana kedainya tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdullah Taqif Abdullah, 24, berkata, jumlah kerugian itu meliputi tiga kedai miliknya yang terpaksa ditutup dalam tempoh tersebut.

“Namun apa boleh buat kerajaan kuatkuasakan PKP untuk keselamatan semua pihak dan hasilnya kita dapati usaha itu semakin positif sekarang.

Advertisement

“Saya juga bersyukur dan pekerja saya sekarang dapat bekerja semula seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini.

Kini, kedai guntingnya kembali beroperasi seperti biasa mulai Rabu lalu (10 Jun).

Katanya, seramai 10 pelanggan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut pada hari pertama bermula jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang.

Menurutnya, beliau terpaksa mengenakan caj sebanyak RM18 satu kepala bagi menanggung kos tambahan kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Selain pelanggan dibekalkan penutup muka, cecair pencuci tangan, badan kita juga ditutup dengan plastik pakai buang,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 12/6/2020