SOP mesyuarat, latihan akan dibentang Isnin ini

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai mesyuarat, kursus dan latihan akan dibentangkan Isnin ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Advertisement

Beliau berkata demikian, semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak kementerian dalam mesyuarat khas menteri-menteri telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada mesyuarat, seminar, kursus dan latihan dengan mengikuti Prosedur Operasi Standar (SOP) yang akan ditetapkan.

Beliau berkata, SOP mengenai kebenaran kepada mesyuarat, seminar, kursus dan latihan itu, sedang diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun katanya, pembentangan berhubung perkara itu dijangkakan akan dibentangkan dalam mesyuarat khas pada isnin ini, untuk mendapat kelulusan mengenai SOP yang akan dilaksanakan nanti.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, pematuhan terhadap SOP sewaktu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) perlu dipatuhi oleh setiap orang ramai.

Malah, pembersihan dan sanitasi premis juga perlu dilakukan dengan kerap serta merekodkan suhu badan pelanggang yang singgah dikawasan R&R.

Manakala katanya, pihak pengusaha R&R juga dinasihatkan agar menyediakan cecair pencuci tangan dan sabun selain rekod pribadi pelanggan. – HARAKAHDAILY 12/6/2020