Wakil agama Kristian, Hindu juga akui bahaya arak

IPOH: Penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan adalah penting dalam menangani isu peminuman alkohol yang menimbulkan akibat negatif, namun membina kesedaran menerusi peranan masyarakat menjadi lebih utama.

Advertisement

EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria menjelaskan, kesedaran secara pendidikan dan kawalan keluarga mengenai bahaya arak akan menjadikan usaha tersebut lebih menyeluruh.

Beliau mengemukakan perbincangan perkara berkenaan ketika menerima kunjungan tokoh agama Kristian, Bishop RT Rev Samuel Kanagaraj Thanggabelu dan wakil Kuil Hindu Sivachariar Siva Sri, Gopalakrisnan Govindasamy.

“Kekangan yang semakin berleluasa ini memerlukan kerjasama semua pihak. Oleh hal demikian, saya (juga) berharap (lebih) ramai tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil bekerjasama dengan kerajaan negeri (untuk) kita sama-sama membendung masalah ini,” ujarnya.

Pertemuan ketiga pihak membincangkan hal pembangunan modal insan dan pendidikan masyarakat pelbagai agama itu juga serius melihat isu penyalahgunaan alkohol memerlukan peranan semua pihak dalam membenterasnya.

Razman turut berkesempatan menjelaskan pandangan Islam berkaitan Maqasid Syariah mengenai kaitan arak dan penjagaan akal yang turut diakui wakil Kristian dan Hindu tersebut larangannya dalam agama mereka serta kesan buruk arak.

Hadir sama adalah Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Perak, Surianarayanan Sannasy Naidu dan Ahli Jawatankuasa DHPP Perak, Mohamad K.Y Tiang di Pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan itu, di sini baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 12/6/2020