Ambil upah dari Yahudi untuk belanja buat Nabi

BERCAKAP mengenai muamalat, antara persoalan yang sering ditimbulkan dari masa ke masa ialah berkenaan hukum bekerja untuk non-Muslim. Majikan non-Muslim. Syarikat non-Muslim. Produk non-Muslim.

Terdapat kisah menarik yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani dalam kitabnya al-Ausath.

Advertisement

Suatu hari Ka’ab bin ‘Ujrah bertemu Rasulullah S.A.W. Beliau menceritakan kisahnya seperti berikut:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وسلم يَوْماً، فَرَأَيْتُهُ مُتَغَيِّراً. قَالَ: قُلْتُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّيْ، مَا لِي أَرَاكَ مُتَغَيِّراً؟ قَالَ: مَا دَخَلَ جَوْفِي مَا يَدْخُلُ جَوْفَ ذَاتِ كَبِدٍ مُنْذُ ثَلاَثٍ. قَالَ: فَذَهَبْتُ، فَإِذَا يَهُوْدِيٌّ يَسْقِي إِبِلاً لَهُ، فَسَقَيْتُ لَهُ عَلَى كُلِّ دَلْوٍ تَمْرَةٌ، فَجَمَعْتُ تَمْراً فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم. فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ لَكَ يَا كَعْبُ؟ فَأَخْبَرْتُهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: أَتُحِبُّنِي ياَ كَعْبُ؟ قُلْتُ: بِأَبِي أَنْتَ نَعَمْ.

“Kata Ka’ab,

“Aku mendatangi Nabi S.A.W pada suatu hari, dan aku perasan wajah Baginda kelihatan pucat.

“Maka aku berkata,

“Ayah dan ibuku adalah tebusanmu. Kenapa wajahmu nampak pucat?

“Baginda menjawab,

“Tidak ada makanan yang masuk ke perutku sejak tiga hari yang lalu.

“Maka aku pun pergi dan mendapati seorang Yahudi sedang memberi minum untanya. Lalu aku bekerja untuknya. Aku memberi minum unta si Yahudi dengan upah sebiji kurma untuk setiap timba air. Aku pun berhasil mendapatkan beberapa biji kurma untuk dibawa kepada Nabi S.A.W.

“Baginda bertanya,

“Dari mana kau dapatkan kurma ini wahai Ka’ab?

“Lalu aku pun menceritakan kisahnya.

“Baginda bertanya,

“Apakah engkau mencintaiku wahai Ka’ab?

“Aku menjawab,

“Ya, dan ayahku adalah tebusanmu.


(Hadis Riwayat ath-Thabarani. Dinilai al-Haytsami dan al-Albani sebagai hasan.)

Daripada riwayat tersebut:

(1) Kita mengenali seorang Sahabat yang bersusah payah bekerja untuk menjamu makan Baginda Nabi S.A.W. Beliau ialah Ka’ab bin ‘Ujrah.

(2) Saidina Ka’ab menunjukkan contoh yang baik, beliau tidak mengabaikan insan yang sedang kesusahan.

(3) Beliau juga menjadi contoh terbaik dalam mempraktikkan Hadis:

“Bersedekahlah kalian walau dengan separuh biji kurma.”

Saya pernah terdengar seorang rakan tergelincir lisannya berkata:

“Logiknya takkan lah Nabi nak kita bersedekah sedikit itu kan?.”

Ma’adzallah. Hadis Rasulullah itu sebenarnya sangat penting untuk diamalkan. Barangkali kita belum melalui situasi seperti itu, yang hikmahnya menjadikan kita faham dan menghayati sabdaan Rasul.

Bersedekahlah walau hanya setengah biji kurma. Remeh buat kita, besar maknanya buat orang yang diuji. Ringan di sisi kita, namun berat di sisi Allah. Pasti tidak disia-siakan sedekah jariah kita.

(4) Harus bekerja untuk majikan kafir, jika produknya bukan dari perkara yang diharamkan Allah. Arak, jual beli ribawi, judi dan lain-lain transaksi tidak patuh syariah.

Hukum harus ini akan berubah mengikut keadaan yang disebutkan. Jika majikan kafir, gemar menghina Islam dan kaum Muslimin, elakkanlah bekerja dengan mereka sekalipun pekerjaannya halal seperti membuat rumah, menjadi pemandu atau pembantu rumah. Sebahagian ulamak menilainya makruh, sebahagian lagi berpendapat hukumnya haram.

Dalilnya ialah sabda Nabi S.A.W:

لاَ يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ

“Tidak sepatutnya seorang Mukmin menghinakan dirinya sendiri.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Begitu juga jika majikannya seorang Muslim, tetapi menjalankan perniagaan haram seumpama operasi kasino, kelab malam atau lintah darat, maka ia tetap haram.

Kesimpulannya, hukum haram pada jenis pekerjaan tidak hanya melihat kepada status agama majikan semata-mata. Ia juga bergantung kepada proses, produk atau servis yang diniagakan.

Jadilah seperti Ka’ab bin ‘Ujrah. Meskipun beliau makan gaji daripada majikan kafir, beliau melakukannya demi Rasulullah S.A.W. Beliau bekerja untuk menunaikan hak saudaranya yang Muslim. Hasil usaha keras kedua tangan beliau beroleh pahala apabila dilakukan kerana Allah.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 14/5/2020