Nuridah kunjungi mangsa ribut FELDA Sg Kemahal

BENTONG: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Muslimat PAS Negeri Pahang telah turun padang menziarahi mangsa ribut petir di FELDA Sungai Kemahal, di sini petang semalam.

Advertisement

Penduduk yang masih trauma kerana ditimpa ribut dan puting beliung dalam kejadian lewat petang 10 Jun lalu merasa amat terharu dan sangat berbesar hati menyambut kehadiran Muslimat PAS memberi keprihatinan itu.

Nuridah juga mesra dengan panggilan Kak Nuri itu dalam kunjungannya itu telah melahirkan rasa simpati dan berharap agar mangsa seisi keluarga tabah melalui musibah yang meranapkan lebih 50 rumah kediaman di situ.

Mengiringi beliau ialah Ketua Muslimat Pahang, Salamiah Mohd Nor bersama Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Pahang, Dalmah Ismail serta wakil Muslimat PAS Kawasan Bentong, Nor Ashikin Md Diah.

Dalam lawatan tersebut Muslimat telah menyumbangkan set barang makanan dan keperluan dapur seperti beras, minyak masak beserta sedikit wang saguhati kepada mangsa yang diharap meringankan sedikit beban ditanggung.

Hadir sama menyantuni dan memberi semangat kepada keluarga mangsa-mangsa kejadian tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda dan Muslimat PAS Bentong serta daripada DUN Pelangai.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa dan menyampaikan bantuan. – HARAKAHDAILY 14/6/2020