PH dan Anwar semakin ditolak

EMIR Research dalam kajiannya yang dilakukan dari 15 ke 24 Februari tahun ini iaitu di peringkat akhir pemerintahan PH sebelum ia jatuh angkara tindakan Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) mendapati sokongan terhadap PH telah merudum teruk ke cuma 11 peratus berbanding 41 peratus dalam kajian sebelumnya.

Rakyat sudah mula menolak dan hilang kepercayaan pada PH lantaran pelbagai faktor kekecewaan dan tidak puas hati. Ia bermula dari PRK Parlimen Cameron Highlands dan berlanjutan ke empat PRK lagi semuanya dengan keputusan yang tidak menyebelahi PH.

Kini Kerajaan PH pun telah roboh dan Tan Sri Muhyiddin Yassin naik sebagai PM ke-8 dengan Kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

Pelbagai faktor menunjukkan yang sokongan terhadap PH terus merosot, bermakna rakyat cukup bosan dan tidak sanggup lagi menerima mereka sebagai pemerintah kerana terbukti PN lebih baik dan boleh dipercayai.

Baru-baru ini Ahli Parlimen PKR Lubok Antu Jugah Muyang isytihar keluar PKR dan menyokong Kerajaan PN. Ianya satu tamparan besar terhadap PH khasnya PKR sendiri.

Dan semalam ADUN Sementa yang juga Ketua Wanita PKR Selangor Dr Dorayah Alwi dan rakan-rakannya pula isytihar keluar PKR kerana hilang keyakinan terhadap Anwar Ibrahim dan akan menjadi mesra PN.

Sudahlah penarafan PH turun berdasarkan kajian semasa kini pimpinan dan wakil rakyat mereka pula seorang lepas seorang tinggalkan parti atas alasan hilang keyakinan terhadap Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Anwar dan saki-baki penyokongnya tanpa segan silu mendakwa mereka bakal merampas kembali kuasa dari tangan PN. Stabilkah lagi PH? Masih berpengaruhkah lagi Anwar? Adalah difahamkan ramai lagi bakal mengikut jejak Jugah dan Dr Dorayah. Lalu apakah nasib PH dan Anwar nanti?

Rakyat semakin padu yakin dan menyokong PN, dan demi kestabilan politik dan ekonomi negara marilah kita semua bersatu demi agama, bangsa dan negara. Selepas ini moga Sabah, Negeri Sembilan dan Selangor pula berpakat menolak PH.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/6/2020