90 peratus rakyat Kelantan dapat air bersih 2030

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha meningkatkan pengeluaran air bersih di Kelantan kepada 1,100 juta liter sehari menjelang tahun 2030.

Peningkatan pengeluaran air bersih itu meliputi 90 peratus jumlah pengguna di seluruh jajahan. Kapasiti pengeluaran air sekarang kira-kira 500 juta liter sehari.

Advertisement

Pengurus Besar AKSB Dato’ Ir Dr Azuhan Mohamed berkata, projek tersebut melibatkan anggaran kos keseluruhan kira-kira RM2.3 bilion.

Katanya, RM1.2 bilion daripada jumlah kos tersebut bagi projek menukar paip-paip lama.

“Manakala pembinaan loji baharu pula melibatkan kos RM300 juta dan membaik pulih loji sedia ada dianggar membabitkan kos RM300 juta.

“Antara loji rawatan air baharu iaitu skim Chicha 2 yang akan dibina di Kampung Seribong dengan kos sebanyak RM150 juta,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya juga pertukaran paip lama jenis asbestos cement yang berusia lebih 30 tahun kepada paip baharu sepanjang 4,000 km mulai dilaksanakan dua tahun lepas.

Kata beliau sehingga sekarang sepanjang 200 km paip sudah ditukar kepada paip jenis baharu yang lebih tahan bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW).

Pada 22 April tahun lepas anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Sr Azami Mohd Nor melancarkan projek penukaran paip lama di Tanjung Mas.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan selepas Kelantan menandatangani migrasi dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada 2016.- HARAKAHDAILY 15/6/2020