Adakah PH masih miliki ‘nombor’ dan harapan?

MUKADDIMAH

Advertisement

PH kembali bekerja kuat setelah mereka ‘diruntuhkan’ oleh anasir dalaman mereka sendiri. Kali ini, PH bekerja kuat untuk menjatuhkan kerajaan TS Muhyiddin dan PN. Tun Mahathir dan DS Anwar dilihat sentiasa dalam ‘mode’ bermesyuarat dan bersidang media sejak sebelum Ramadan. Jentera siber DAP dan PAN pula sentiasa dalam ‘mode’ menyerang, menghentam dan mengungkit setiap sejarah silam yang pedih antara komponen-komponen PN.

Hanya Abang Mat Sabu saja yang belum turun ke jalanan.

Pertukaran kerajaan

Sepanjang dua minggu ini, setiap hari kita mendengar PH akan kembali berkuasa esok atau lusa. Namun seperti kita ‘dikencing’ lagi untuk kesekian kalinya, jika kita memilih untuk mempercayainya.

Buktinya, sehingga hari ini Kerajaan PN masih di Putrajaya seperti biasa. ‘Nombor’ yang diberikan hanyalah akrobatik politik semata-mata. Terakhir 107 untuk PH, kata DS Anwar.

Mewakili PH di media

Jika dilihat daripada kenyataan yang sering dipetik media sebagai mewakili PH, Tun M dan DS Anwar adalah pada ranking pertama. Ajaibnya, ranking kedua diisi oleh Khalid Samad dan Salahuddin Ayub. Seterusnya Syed Saddiq, Datuk Kadir Jasin dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. Seterusnya pimpinan-pimpinan lain.

Tiada daripada DAP, kecuali melalui Lim Kit Siang. Theresa Kok, Hannah Yeo dan Anthony Lok sekali sekala ada juga muncul mengkritik Kerajaan PN, dan memuji Kerajaan PH terdahulu.

Tiada daripada Tuan Lim Guan Eng, kecuali kenyataan membela dirinya daripada cuba campur tangan dalam kes yang diuruskan oleh Pejabat Peguam Negara. Desas-desus campur tangan itu sehingga terpalit kepada Tun Mahathir sendiri.

PAN komponen paling vokal mewakili PH

Kesimpulan melulu yang boleh kita buat daripada keadaan ini ialah, tanpa Tun Mahathir dan DS Anwar, PAN mungkin akan mengemudi PH sebagai komponen tonggak. Ini kerana, setakat ini pimpinan PAN dilihat paling bersemangat mempertahankan PH. PAN juga sentiasa menyerang PAS, Umno, Muafakat Nasional dan PN. PAN sentiasa dalam posisi menyerang dan bertahan.

Bersediakah kita menerima Abang Mat Sabu, Khalid Samad atau Salahuddin Ayub sebagai PM ke-9? Mungkinkah Hanipa Maidin?! Jangan bimbang. Sebetulnya mereka sendiri pun terkejut jika mereka dicalonkan sebagai PM ke-9. Mereka memang tidak bersedia dan tidak berharap.

Hakikatnya, walaupun merupakan komponen yang paling banyak ‘berpeluh’ demi PH, PAN tiada akar umbi yang kuat seperti PKR dan DAP. Jika bersendirian, ia adalah lebih lemah daripada Tun Mahathir bersendirian. Lebih lemah daripada PKR bersendirian. Dan pastinya lebih lemah daripada DAP bersendirian. PAN sentiasa perlukan pelampung untuk kesinambungan hidup.

Setakat ini PH adalah pelampung itu. Jika PH turut berkubur, atau berpecah menjadi lebih kecil, ia sangat menjejaskan ‘kesihatan politik’ PAN.

PH menolak PRU dalam tempoh terdekat

Setelah DS Najib membuat kenyataan Umno perlu bersedia untuk berhadapan PRU, tindak balas PH ialah PRU tidak perlu. Ia membazir wang kerajaan, keadaan COVID-19 masih belum selesai ditangani dan beberapa alasan lain yang diberi.

Sebelum itu, beberapa alasan tidak mahu mengadakan PRU telah diberikan oleh PN. Ia menyebabkan PN diserang oleh media PH daripada segenap sudut. Ajaibnya, ia berakhir dengan pengisytiharan PH pun berpendapat PRU adalah tidak perlu. Hanya PH tidak sebutkan secara lantang, ‘mandat rakyat yang baru adalah tidak perlu’.

Akhirnya, kita dapati ada juga titik sepakat antara PH dan PN. Sekalipun PH tidak henti-henti mengkritik apa jua langkah yang diambil oleh Kerajaan PN dalam menguruskan wabak COVID-19.

Apa lagi pilihan untuk PH ambil alih kerajaan?

Nampaknya satu-satu pilihan yang ada untuk PH ialah ‘permainan nombor’, sama ada melalui Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen, atau membuktikan TS Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen kepada SPB YDP Agong.

Nampaknya terpaksa menghadap SPB YDP Agong jugak, walaupun tidak pernah bersetuju dengan keputusan baginda sebelum ini.

‘Permainan nombor’ ialah berusaha mempengaruhi sejumlah Ahli Parlimen pendokong kerajaan agar tidak lagi menyokong kerajaan. PH menuduh PN sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ kerana mereka menuduh PH bermain ‘permainan nombor’ sehingga menjatuhkan kerajaan PH.

Hakikat sebenarnya ialah PH meruntuhkan kerajaan mereka sendiri, bukan melalui permainan nombor. Kekosongan kerajaan setelah keruntuhan Kerajaan PH lantaran peletakkan jawatan Tun Mahathir, telah memaksa semua pihak untuk menunjukkan ‘nombor’ yang mereka miliki sebagai bukti merekalah yang paling layak membentuk kerajaan.

Ia telah diadili dengan saksama oleh SPB YDP Agong. Kerajaan PN telah dibentuk.

Penutup

Yang berlaku sekarang adalah amat pelik sekali. PH sedang bermain nombor untuk cuba menjatuhkan Kerajaan PN melalui ‘pintu belakang’ ‘yang amat keji itu’. PH sedang menggalakkan proses ‘melompat’ dalam kalangan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

Rundingan PKR dan ‘Plus’, iaitu kumpulan Tun Mahathir yang telah kehilangan parti setakat ini, sedang berada pada tahap paling kritikal.

Siapa akan menjadi PM jika PH Plus kembali berkuasa, Tun Mahathirkah? Atau DS Anwarkah? Adakah akan ada pelan peralihan kuasa fasa kedua? Adakah kem Tun Mahathir akan menyokong DS Anwar? Adakah kem DS Anwar berupaya lagi mendokong Tun Mahathir?

PN pula tentulah akan bertahan dengan serangan PH. Kata ahli strategi, ada kalanya pertahanan yang terbaik ialah dengan cara ‘menyerang’, dan bukan sekadar ‘bertahan’.

‘Acid Test’ ialah pada sidang Parlimen selama 25 hari bermula 17 Julai ini.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 15 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 15/6/2020