Mahasiswa muak lagak pemimpin tamak kuasa

KANGAR: Usaha berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak sesuai dengan situasi sekarang.

Malah situasi politik negara yang berlaku sekarang turut mengundang perasaan resah dan muak dalam kalangan mahasiswa.

Advertisement

Seorang mahasiswa dari sebuah universiti di sini Muhammad Arrif Amirul Azmi berkata, berdasarkan pemerhatian usaha Pakatan Harapan (PH) untuk merebut kembali kuasa pemerintahan sangat tidak sesuai dalam situasi negara sekarang ini.

Katanya , parti pembangkang perlu bermuhasabah kerana keadaan yang berlaku sekarang berpunca dari masalah dalaman PH sendiri.

Katanya, parti komponen PH perlu memberi tumpuan membina semula keyakinan rakyat dan bukannya mempamerkan sikap tamak bagi merebut kuasa politik.

“Wajar pemimpin PH mengadakan genjatan senjata dahulu sehingga wabak Covid-19 stabil dan keadaan ekonomi negara pulih.

“Mereka seharusnya menjadi pembangkang yang mampu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan sekarang,” katanya di sini.

Seorang lagi mahasiswa Maisurah Ahmad berkata, pemimpin politik seharusnya mempamerkan kesungguhan membantu rakyat dan bukan asyik bercakaran berebut jawatan.- HARAKAHDAILY 15/6/2020