Masjid, surau di WP dibuka

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pembukaan masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan dengan syarat jemaah masjid perlu mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran tersebut diberikan susulan laporan pihak polis yang mengatakan tiada isu melibatkan pematuhan di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sepanjang kebenaran diberikan.

“Sebelum ini kita telah pun membenarkan masjid di Wilayah Persekutuan untuk memberikan kelonggaran 1/3 jemaah berbanding dengan jumlah sebenar, dan hari ini kita telah bersetuju apabila melihat kepada pematuhan jemaah dan pihak berkuasa masjid.

“Pihak polis melaporkan, tiada isu yang melibatkan pematuhan. Oleh kerana pematuhannya begitu baik, maka hari ini kita telah bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk beroperasi seperti biasa kecuali di zon-zon merah,” jelasnya.

Walaubagaimapun menurut Ismail, SOP berhubung kebenaran menggunakan masjid itu masih sama, iaitu jumlah kehadiran mestilah 1/3 daripada jumlah kapasiti sebenar jemaah sebelum ini.

“Jadi, kalau mereka buka, tak boleh lebih dari 1/3 dan SOPnya tetap sama, merekodkan kehadiran jemaah, cek suhu sebelum masuk ke masjid atau surau dan sebagainya.

“Ini adalah untuk surau dan masjid di Wilayah Persekutuan, manakala di negeri-negeri lain, ianya tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.