PBT teliti SOP operasi pasar malam

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan belum membenarkan pembukaan pasar malam di negeri itu memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sedang diteliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PBT akan melakukan perancangan terperinci khususnya untuk mengaplikasikan SOP yang ditetapkan.

Advertisement

Katanya, perkara itu amat perlu memandangkan ada beberapa kawasan yang dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan pasar malam.

“Pasar malam tidak boleh mula lagi sebab kita menyerahkan (pelaksanaan) SOP kepada PBT untuk melihat dengan lebih terperinci.

“Kita tengok dari segi SOP itu banyak kawasan yang dianggap tidak layak untuk dibenarkan pasar malam dibuka,” ujarnya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Bilik Gerakan, Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mengenai operasi premis perniagaan kedai makan kata beliau ia dilanjutkan kepada 10.30 malam, iaitu dibenarkan tambahan setengah jam berbanding sebelum ini.

“Kita tambah hingga 10.30 malam sebab dalam proses peralihan sehingga 30 Ogos depan. Selepas itu mungkin ada perubahan lagi,” ujarnya.

Mengenai jumlah jemaah yang boleh menyertai solat Jumaat Menteri Besar berkata, ia akan diputuskan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam waktu terdekat.- HARAKAHDAILY 15/6/2020