Pemuda PAS bantah pelantikan Eric Paulsen

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Hal ini kerana, Eric begitu dikenali sebagai seorang yang lantang mempersoalkan ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kenyataan keras yang mengundang resah dalam kalangan rakyat.

Pelantikan yang dimaklumkan itu baru sahaja dibentuk di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Advertisement

Timbalan Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekalipun kedudukan Eric hanyalah sebagai ahli mesyuarat, ia tetap memberi kesan kerana MPKM adalah majlis yang membincangkan polisi dan dasar KKMM termasuk dasar kerajaan.

“Ideologi yang beliau anuti dan pemikiran beliau sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada dasar dan polisi tersebut.

“Ia sudah pasti bertentangan dengan matlamat dan halatuju Perikatan Nasional (PN)lantas menjadi suatu barah yang akan merosakkan PN serta Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS berpendapat pelantikan beliau adalah sangat tidak bersesuaian lebih-lebih lagi di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

“Dasar kerajaan PN (adalah) menolak pendekatan liberal yang ekstrem dan sinis terhadap Islam sebagai agama Persekutuan serta tidak menghormati asas-asas kontrak sosial yang termaktub dalam pelembagaan Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, DPPM membantah keras pelantikan tersebut serta mendesak Menteri KKMM, Dato’ Saifuddin Abdullah agar menarik balik pelantikan Eric serta-merta.

“Pemuda PAS yakin masih ramai yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

“Kami akan terus berperanan untuk memastikan tiada ruang buat mereka yang berideologi liberal ekstrem dan lantang menentang Islam untuk berada dalam mana-mana platform kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Malaysia umumnya,” katanya.- HARAKAHDAILY 15/6/2020