Prasekolah, Tadika mula beroperasi 1 Julai

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pembukaan semula semua prasekolah dan Tadika di seluruh negara bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Ismail Sabri, guru-guru dan pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Advertisement

“Kita sudah bersetuju dengan SOP yang dibentangkan mengenai cadangan pembukaan prasekolah dan tadika.

“SOP termasuk sewaktu pelajar datang dan pulang, mengenai cara mereka bermain dalam Tadika, waktu makan semua lengkap,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelasnya, pembukaan tersebut merlibatkan sebanyak 6,216 prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, swasta sebanyak (7,887), sejumlah 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan 8,530 tadika kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Namun begitu, katanya garis panduan yang lengkap akan dimaklumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat ini.

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan bakal bermula pada 24 Jun bagi pelajar yang mengambil kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) serta peperiksaan antarabangsa.- HARAKAHDAILY 15/6/2020