Sepakat angkat agenda 30% wanita pembuat dasar

PUTRAJAYA: Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Presint 4, di sini semalam.

Advertisement

Delegasi diketuai Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh ini dirai mesra Menteri dan Timbalan Menteri, Dato’ Seri Rina Mohd Harun dan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff serta para pegawai KPWKM.

Dalam pertemuan ini, kedua pihak membincangkan hal-hal berkaitan kesejahteraan wanita dan keluarga di mana antara disepakati adalah mengenai pemerkasaan kepada golongan tersebut menerusi modul dan pengisian khusus.

Juga agenda keberadaan 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar diangkat semula dan dilaksanakan di semua sektor dan agensi kerajaan termasuklah parti-parti politik.

Menurut Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM, Chua Choon Hwa, ketika ini hanya 10 peratus wanita terlibat sebagai pembuat dasar, sedangkan 30 peratus perlu untuk suara didengari dan diangkat.

Pihak Muslimat PAS turut menzahirkan rasa berbesar hati untuk mengadakan hubungan strategik secara langsung bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menerusi penubuhan di setiap daerah.

Menerusi kewujudan demikian, akan mengoptimumkan peranan wanita di setiap peringkat tersebut dengan secara tidak langsung diharap dapat memperkasakan JPW.

Muslimat turut menyentuh supaya aspek pembinaan kaum lelaki sebagai suami atau ketua keluarga diberi penekanan dan agenda kerana masalah rumah tangga termasuk keganasan adalah dari kaum itu.

Dato’ Rina turut menyentuh agenda Gerakan Wanita Sejahtera yang digerakkan Muslimat PAS Malaysia yang disifatkan beliau sebagai pelengkap bagi mengekalkan kesejahteraan kaum wanita.

Pertemuan hampir 2 jam ini turut disertai Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam dan Salamiah Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 16/6/2020