Demi Malaysia tinggalkan PH

KONONNYA semalam Pakatan Plus akan memuktamadkan keputusan siapakah calon Perdana Menteri (PM) mereka.

Pakatan Plus ini terdiri daripada PH yang dianggotai PKR, DAP dan PAN manakala Plus pula terdiri dari 5 MP bekas BERSATU yang diketuai Tun termasuk WARISAN yang punya 9 MP.

Khabarnya PH khasnya PKR mahukan Anwar sebagai calon PM manakala Plus pula masih mahukan Tun. Masing-masing saling bergantung, jika PKR tarik diri Tun terlepas peluang demikian juga jika Plus yang bawah pengaruh Tun enggan sokong maka Anwar akan melopong lagi.

Advertisement

Lalu dilancarlah kempen #DemiMalaysia kononnya untuk merayu kedua tokoh ini agar berdamai dan bertolak ansur.

Demikianlah PH Plus walau bilangan kerusi dalam tangan belum pasti cukup namun sudah berebut calon PM.

Langsung mereka tidak peduli nasib dan sengsara rakyat. Yang diutamakan adalah kuasa dan kedudukan.

Barangkali kerana itulah ramai sudah hilang keyakinan pada kepimpinan PH mahupun Tun. Tiada lagi agenda rakyat kecuali kepentingan periuk nasi masing-masing. Faktor itulah yang kemungkinan mendorong Jugah Muyang dari Lubok Antu untuk menyokong PN dan demikian juga Dr Dorayah ADUN Sementa dan terkini dua ADUN dari Sabah.

Semoga ramai lagi yang akan meninggalkan bahtera PH yang semakin sendeng dan lapuk itu.

Rakyat hari ini sudah begitu selesa dan tenteram di bawah kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin. Marilah kita semua bermuafakat membina kembali Malaysia yang baru.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/6/2020