Kedah muktamadkan lantikan Ahli Majlis di 12 PBT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah telah memuktamadkan kelulusan pelantikan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu hari ini.

Advertisement

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Maklum beliau juga, majlis angkat sumpah semua lantikan tersebut juga akan dibuat segera bagi membolehkan setiap PBT bergerak berdasarkan undang-undang yang tertakluk di bawah Akta 171 Kerajaan Tempatan.

Menurutnya, setiap PBT akan dianggotai maksimum 24 Ahli Majlis yang dilantik di mana selain dalam kalangan wakil parti politik, juga termasuk kali ini melibatkan beberapa agensi kerajaan dari pihak kesihatan, polis dan lain-lain.

Malah, semua mereka juga akuinya disaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana jika berlaku kes kehilangan kelayakan akan dilakukan proses penggantian dan beliau percaya hanya mereka yang bersih dipilih.

Sanusi turut memaklumkan beberapa keputusan melibatkan kebenaran solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid seluruh negeri itu maksimum 60 orang sebagaimana diumumkan pihak Mufti sebelum itu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru, penuhkanlah masjid seperti yang dimahukanlah. Masa tak bagi, nak sangat, buat statement macam-macam. Kata lambatlah, tak peduli masjidlah apa. Bila buka, tak pergi pun.

“Pergi penuh Subuh itu, insya-Allah, solat Subuh esok make sure ada 40 orang di semua masjid,” ujarnya turut mengingatkan keperluan pendaftaran awal bagi mengawal jumlah dibenarkan itu.

Beliau juga memaklumkan mengenai kelulusan muktamad jumlah khairat kematian yang diberikan sebanyak RM300 berbanding RM250 sebelum ini di mana boleh dituntut dari semua Pusat Khidmat ADUN atau Penyelaras DUN.

Pihak Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) juga maklumnya menerima pakai keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jelasnya, semua sektor ekonomi dan pusat rekreasi serta taman awam boleh beroperasi kecuali taman permainan kanak-kanak dan Taman Reksreasi Ulu Legong, Baling. – HARAKAHDAILY 17/6/2020