Ketum tidak akan jadi tanaman komoditi negara

Menteri Perusahaan Perladangan dan Keluaran Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semasa lawatan mahabbah bersama Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang, semalam.

KANGAR: Kerajaan hari ini tidak berhasrat untuk menyenaraikan daun ketum sebagai salah satu daripada keluaran komoditi negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Keluaran Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata walaupun ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih dalam proses meneliti manfaat dan keburukan daun ketum.

Advertisement

“Kita semua sedia maklum mengenai isu daun ketum ini dan ianya mempunyai isu negatif dan positif, jadi biarkan KKM menjalankan penyelidikan terlebih dahulu.

“Bagi pihak kementerian, belum ada cadangan untuk mengiktirafnya sebagai komoditi dan tidak pernah bercadang untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, kementerian akan terus memperkasakan tanaman sedia ada seperti sagu, gaharu, lada, kelapa sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.

“Kemudian baru kita akan melihat apa hala tuju baharu yang boleh dibesarkan lagi impaknya kepada negara,” ulas belia semasa lawatan mahabbah bersama Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang, semalam.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin pernah menyuarakan tanaman daun ketum dibenarkan sebagai usaha membantu pekebun kecil.- HARAKAHDAILY 17/6/2020