Melayu ‘malang’ di bawah PH

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa membidas tohmahan bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewarisi kerajaan kleptokrat.

Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja mencipta persepsi untuk menagih simpati bagi menutup kesilapan diri sendiri.

Kesilapan yang dimaksudkan adalah tindakan Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri menyebabkan kerajaan PH kecundang akibat perebutan kuasa untuk menjadi perdana menteri.

Advertisement

Beliau berkata, kerajaan PH juga telah gagal membuktikan sebarang kes yang dibawa ke mahkamah setelah 22 bulan memerintah negara.

Lantaran itu, Mohd Zai menyifatkan dakwaan Tun Mahathir bahawa kerajaan PN punca negara dan Melayu akan hancur sebenarnya berbalik kepada kerajaan PH sendiri.

Hakikatnya kata beliau, PH gagal mempertahankan hak Melayu dan Islam serta meletakkan orang Melayu dan Islam dalam keadaan tidak selamat.

“Ini terbukti semasa Tun Mahathir sendiri menganjurkan dan memberikan ucapan menyelamatkan maruah Melayu di Kongres Maruah Melayu (yang diadakan pada tahun lepas)

“(Tujuan Kongres tersebut) bagi menyelamatkan orang Melayu daripada ditindas di negara sendiri dari sudut ekonomi, pendidikan dan sosial.

“Mengajak orang Melayu agar bersatu bagi mempertahankan hak orang Melayu apabila DAP terlalu kuat menguasai kerajaan dan membuat polisi yang menolak hak keistimewaan orang Melayu, bagi hak sama rata kepada semua kaum,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau, pada zaman pemerintahan PH dapat dilihat himpunan mempertahankan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu paling banyak dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malayu Islam dan rakyat.

Ini katanya akibat daripada kegagalan kerajaan PH menunjukkan kuasanya mempertahankan orang Melayu ketika itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tulisan di blog Tun Mahathir semalam yang mendakwa kerajaan PN adalah kerajaan kleptokrat yang akan menghancurkan Melayu.- HARAKAHDAILY 17/6/2020