PH: Pakatan yang rapuh

KANGAR: Umum mengetahui Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah pakatan yang sangat rapuh dan menjadi punca kejatuhan kerajaan yang lalu.

Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata pakatan itu seringkali berlaku pertembungan sesama mereka dan perebutan kuasa untuk menjadi ketua yang sehingga kini belum selesai.

Katanya lagi, Pakatan Nasional (PN) mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama kerajaan hari ini dengan beberapa syarat.

Advertisement

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama, dengan syarat mereka memahami aspirasi kerajaan PN yang asasnya adalah untuk mempertahankan Islam dan memperkasakan bangsa Melayu.

“Kerana asas pembinaan negara kita adalah Islam dan Melayu, dan jika mereka tidak dapat menjiwai asas ini maka ianya tidaklah membantu PN untuk membina negara,” ulasnya semasa sesi soal jawab bersama media mengenai ura-ura mengatakan terdapat ahli parlimen dari PH yang akan beralih arah.

Antara lain beliau mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa apabila diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Terpulang kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin untuk menentukan bila dan masa yang sesuai bagi membubarkan Parlimen.

“Kami di peringkat kementerian ketika ini akan terus bekerja sebaik mungkin seolah-olah esok adalah pilihan raya,” katanya ketika ditemui di sini, petang semalam semasa ziarah mahabbah bersama Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang.

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim juga mendedahkan PAS pernah meminta diadakan pilihanraya ketika berlakunya krisis pelantikan Perdana Menteri apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan secara mengejut Februari lalu.- HARAKAHDAILY 17/6/2020