PKPP: Kanak-kanak dibenarkan beriadah

KUALA LUMPUR: Tiada larangan bagi kanak-kanak untuk beriadah di kawasan awam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Namun ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memastikan supaya anak-anak tidak berada dalam kawasan riadah yang sesak dengan orang awam.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau hanya mengingatkan ibu bapa bahawa golongan kanak-kanak merupakan golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

“Jadi ibu bapa perlulah menjaga kepentingan anak mereka walaupun mereka yang membawa anak.

“Sebagai contoh (walaupun) tidak ada hukuman pun untuk melarang kerana tidak diwartakan, tetapi oleh kerana anak-anak merupakan risiko tinggi dari segi jangkitan Covid-19 maka kita galakkan supaya anak-anak tidak dibawa bersama.

“Tapi maknanya kalau kata mereka (kanak-kanak) tidak dibenarkan melihat dunia, dah lama dah kita benarkan mereka melihat dunia.

“Cuma ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka dijaga dengan baik supaya terhindar daripada jangkitan Covid-19,” ulasnya dalam sidang media harian PKP, hari ini.- HARAKAHDAILY 17/6/2020