Bertakwalah kepada Allah semampu mungkin

KETIKA PAS menang di Kelantan 1990 dan di Terengganu 1999 dengan kekuatan PAS dominan di kedua-dua negeri tersebut, bidang kemampuan PAS untuk melaksanakan Undang-undang Islam ialah sampai ke tahap mengkanunkan dan meluluskan Kanun Jenayah Syariah di DUN Kelantan dan Terengganu. Namun, untuk melaksanakan kanun tersebut, ada kekangan bidang kuasa negeri yang terhad. Maka PAS sudah buat ke tahap yang termampu. Peringkat berikutnya ialah bidang kuasa Persekutuan. Dalam masa yang sama agenda Islam itu bukanlah undang-undang sahaja, maka aspek pendidikan, dakwah, kebajikan rakyat, pembangunan dan lain-lain juga dilaksanakan semampu mungkin dengan kemampuan yang ada di peringkat negeri.

Ada pun ketika PAS memerintah 2008 bersama komponen PR di Kedah (sebagai Menteri Besar), Perak (juga sebagai Menteri Besar) dan di Selangor, maka tidak dikanunkan Kanun Jenayah Syariah kerana PAS tidak memiliki kuasa penuh di negeri-negeri tersebut. Maka PAS memainkan peranan atas bidang kemampuan yang ada… Ketika itu, propaganda jentera BN menyerang PAS “di manakah agenda hudud PAS setelah bersama DAP? Bagaimana dengan agenda arak dan judi yang diperjuangkan oleh PAS di Selangor dan Perak dan lain-lain”… Ketika itu kita telah memberikan jawapannya berkaitan titik persetujuan kerjasama dan bidangkuasa yang ada.

Sedangkan PAS sudah melakukan yang termampu dalam bidang keupayaan (استطاعة). Ketika itu harus difahami bahawa kerjasama dengan PR bukan atas perjanjian menegakkan Negara Islam, tetapi atas asas pemulihan demokrasi, integriti dan sebagainya di samping jaminan untuk mempertahankan isi kandungan kontrak sosial melibatkan hak agama, Bumiputera, bahasa dan institusi Raja serta persetujuan untuk agree to disagree atas dasar perjuangan masing-masing…

Advertisement

Dari sudut PAS, kita berharap agenda bersama PR ketika itu akan membuka jalan kepada kebebasan demokrasi, ruang dakwah akan lebih terbuka dan cita-cita mendaulatkan Islam akan lebih cerah dari masa ke semasa.

Maka berlakulah apa yang berlaku… Yang saya kira tak perlu diulas dan diulang berkali-kali mengenai sikap DAP dan sebahagian PKR kepada PAS dalam tempoh 2008-2015 itu… Terutamanya berkaitan serangan kepada Kelantan dalam isu hudud, semakin ketaranya agenda gerakan Liberal, isu Kajang Move, cabaran terhadap isu agama dan istana yang semakin ketara, campurtangan DAP dan PKR yang sangat menjolok mata dalam pergolakan dalaman PAS sehingga melahirkan PasMa, GHB, G18 dan akhirnya PAN…

Apabila menjelang PRU14 (2018), PAS memerlukan strategik baru setelah memutuskan hubungan dengan PR (kemudiannya menjadi PH)… Dalam realiti baru ini PAS melihat belum boleh bersama Umno-BN dalam PRU tersebut. Hanya sahaja menegaskan sebelum itu konsep ta’awun iaitu bersetuju untuk berkerjasama dalam isu-isu agama dan kebaikan rakyat. Maka berlakulah tiga penjuru dalam PRU14 yang menatijahkan PH menang.

Apa yang berlaku selepas itu dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH, tak perlulah saya ulang kerana kita semua sedia maklum dan masing-masing ada pandangan masing-masing… PAS dalam tempoh itu mendekati rapat Umno yang telah kalah. Kalau kerana nakkan kuasa sahaja… apa guna mendekati orang yang sudah hilang kuasa… lebih baik bersama orang yang berkuasa… Tapi bukan semata-mata kuasa menjadi keutamaan PAS… PAS inginkan jaminan terhadap pemerkasaan agenda Islam, atau setidak-tidaknya mempertahankan kontrak sosial berkaitan akar tunjang negara ini iaitu Islam, hak Bumiputera, bahasa dan institusi Raja diperkukuhkan di samping pemulihan integriti dan demokrasi…

Maka di sinilah PAS merapat dengan Umno yang telah kalah. Apabila mereka kalah, maka terbuka banyak ruang muhasabah. Kalau masih nak dibangkitkan sejarah silam Umno-BN… Sejarah buruk mereka kepada negara ini banyak bersama Mahathir dan Anwar Ibrahim semenjak 1982 hingga 2002. Itu Umno zaman Mahathir dan Anwar. Kalau nak dibincangkan mengenai integriti, berguni-guni dan berkotak-kotak dakwaan salah laku antara sesama mereka dalam tempoh mereka berbalah… Belum masuk campurtangan Mahathir di era Pak Lah dan Anwar di era Najib (Konsesus Nasional)…

Hasrat PAS ialah memperkukuhkan agenda penyatuan ummah dengan Umno menuju PRU15. Sedikit demi sedikit langkah diatur. Menubuhkan Muafakat Nasional. Sudah pasti mengambil kira realiti negara ini maka MCA dan MIC serta parti-parti Sabah dan Sarawak cuba didekati dan tidak diabaikan. Itulah realiti Malaysia. Agenda yang jelas lagi terang yang tidak disorok-sorok ialah mengalahkan PH terutamanya DAP. Tiba-tiba PH berpecah. Berbalah sesama sendiri mengenai tempoh jawatan PM. Tun Mahathir letak jawatan. Maka tertubuhlah Kerajaan PN. Nama PN itu pun belum berdaftar rasmi.

Kerjasama mengejut ini termeterai demi menyelamatkan keadaan. Persefahaman PAS dengan BERSATU dan parti-parti Sabah dan Sarawak ini tidaklah sama seperti agenda Muafakat Nasional PAS dan Umno. Tapi Kerajaan PN ini telah tertubuh. PAS akan terus memainkan peranannya mengikut kaedah (استطاعة) seperti mana sebelumnya. Ini bukan Kerajaan PAS bersendirian yang memiliki kedaulatan tersendiri. Ia Kerajaan Campuran yang tiada majoriti 2/3 pun. Agendanya menghapuskan mudharat DAP dan konco-konconya yang membuat onar selama 22 bulan itu.

Kerajaan ini ialah kerajaan yang mesti menunjukkan komitmen untuk memperbetulkan kesilapan PH dalam 22 bulan yang lalu. Dalam masa yang sama berusaha tidak mengulangi kesilapan BN sebelum itu. Ada pun agenda Islam PAS, akan terus digerakkan dalam ruang kemampuan yang ada sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi dengan pengalaman-pengalaman yang pernah PAS lalui. Bertindak mengikut kemampuan yang ada. Tindakan Pemuda PAS dalam isu pemandu mabuk serta bantahan pelantikan Eric Paulsen antara usaha yang dilakukan mengikut kemampuan yang ada selain peranan yang sudah pasti akan diusahakan sebaik mungkin di peringkat Kerajaan-kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta peranan Menteri dan Timbalan Menteri PAS serta penjawat-penjawat PAS dalam lantikan agensi dan jawatankuasa kerajaan semampu mungkin.

Perjanjian Hudaibiyyah bukanlah perjanjian untuk menegakkan Negeri Islam di Makkah, tetapi perjanjian damai dengan pemimpin Makkah agar boleh ditunaikan Haji dan Umrah di Baitil Haram dan agar pintu dakwah menjadi lebih terbuka… Ruang yang terbuka itulah, kemudiannya menjadikan akhirnya Islam berdaulat di Makkah…:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ

[at-Taghabun: 16]

HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 18/6/2020