Eksploitasi Zionis terhadap bantuan COVID-19 Malaysia

SAYA sangat terkejut dan marah apabila kawan-kawan menghantar gambar ini dan meminta saya mengulasnya. Saya antara yang berkongsi berita gembira penyampaian bantuan COVID-19 oleh Kerajaan Malaysia kepada Palestin pada 12 Mei lepas dengan penerbangan khas Air Asia ke Jordan dan melalui respon ribuan pembaca, ternyata rakyat Malaysia turut merasai rasa bangga yang sama.

Bayangkan perasaan terkejut dan marah yang kita rasai apabila beberapa hari selepasnya, wajah tentera penjajah Israeli Defense Forces (IDF) melalui badan koordinasi mereka Coordination of Government Activities in the Territories (COGAT) pula yang berbesar hati mempamerkan usaha mereka menyampaikan bantuan Malaysia ini di kedua-dua laman facebook IDF dan COGAT!

Lebih daripada itu, IDF dalam post tersebut menyatakan bagaimana bantuan sejuta topeng muka dari Kerajaan Malaysia ini dipindahkan melalui Allenby Crossing dengan koordinasi COGAT dan Pentadbiran Sivil, seolah-olah Malaysia mengiktiraf kewujudan Israel dan struktur kerajaannya.

Advertisement

Dan memang itu pun tujuan IDF – untuk menormalisasikan hubungan di antara negara haram mereka dengan negara-negara yang lain. Isunya, kenapa kita ‘membantu’ menjayakan usaha normalisasi mereka?

Saya melihat bahawa timbulnya dua persoalan utama – adakah Kerajaan Palestin di peringkat pusat yang dipimpin Palestinian Authority (PA) tidak mempunyai keupayaan untuk mengagihkan sendiri bantuan tersebut yang disumbangkan oleh negara-negara Islam untuk saudara-saudara Islam mereka?

Ya, kita faham bahawa mereka mempunyai hubungan yang intim dengan penjajah dan sehingga kini masih berkoordinasi dengan mereka dari pelbagai sudut termasuk keselamatan, justeru timbul persoalan kedua – adakah Kerajaan Malaysia tidak mendapat jaminan daripada Kerajaan Palestin supaya insiden yang mencabar maruah dan kedaulatan negara seperti ini tidak berlaku sebelum bantuan disampaikan? Atau ia berlaku di ‘luar jangkaan’?

Kalau Kerajaan Palestin terlalu lemah sehingga terpaksa menjadi pak turut musuh, cari jalan lain supaya bantuan kerajaan, bantuan kita, bantuan Malaysia tidak diuruskan oleh musuh yang menjadi punca asal masalah, dan pastikan bahawa ia benar-benar sampai kepada sasaran rakyat Palestin yang memerlukan!

Kongsikan, tanda kita protes usaha normalisasi musuh Zionis bersama negara kita yang tercinta!

Link asal di laman IDF:

https://www.facebook.com/125249070831305/posts/3158269037529278/

Link asal di laman COGAT:

https://www.facebook.com/724192144343139/posts/2870273379734994/

NADIR AL-NURI – HARAKAHDAILY 18/6/2020