Pelajar Timur Tengah disaran sambung pengajian di USAS

KUALA KANGSAR: Seramai 805 pelajar Malaysia di Timur Tengah yang baru pulang ke tanah air disaran meneruskan pengajian di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata, ini adalah pendekatan jangka panjang sekiranya pandemik COVID-19 masih tidak dapat dibendung di Timur Tengah.

Advertisement

“Kerajaan Negeri mengambil berat keadaan pelajar-pelajar yang baru pulang dari sana, jadi sebaiknya mereka meneruskan pelajaran di universiti kita supaya tidak membazir masa dan pengajian dapat ditamatkan mengikut jadual.

“Kita sendiri tidak tahu bila keadaan COVID-19 di sana akan pulih dan mereka masih lagi tidak dapat mengawal pandemik itu,” jelasnya.

USAS mengambil inisiatif memberi pilihan kepada pelajar yang baru pulang dari luar negara untuk menyambung semula pengajian tertangguh atau daftar sebagai pelajar baharu dengan bidang pengajian berbeza.

Menurut Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi, pihaknya bersedia menerima semua pelajar itu pada bila-bila masa bagi mengikuti sistem pelajaran atas talian bermula Julai sekiranya mereka berminat menyertai program khas ini.

“USAS mampu memberi kemudahan lengkap terutamanya kemudahan internet bagi mereka mengikuti pelajaran atas talian di kampus. Kita tidak dapat jamin mereka akan belajar dengan efektif sekiranya mereka berada diluar kawasan capaian internet.

“Kita boleh menempatkan kesemua pelajar di dalam kampus dan ini telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk) dan Yayasan Perak dapat meneruskan tajaan dermasiswa kepada pelajar terlibat.

Dalam perkembangan terkini, sebanyak 805 pelajar berdaftar dari negara Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan dan Maghribi berjaya dibawa pulang dan dihantar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Pelajar Malaysia di luar negara mula dibawa pulang secara berperingkat sejak April lalu selepas kebanyakkan negara telah melonggarkan sekatan penerbangan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 18/6/2020