Perak jual pelbagai variasi durian secara ‘online’

KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar telah mengadakan jualan buah durian secara atas talian (online) berikutan penutupan ladang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Negeri, Dato’ Abdul Yunus Jamahri berkata, ladang milik MARDI ditutup atas saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun penjualan hasil ladang masih lagi dijalankan.

“Kita guna platform atas talian di mana pembeli boleh membuat tempahan awal dan ambil tempahan (self pick-up) di dua lokasi di MARDI RTC Gopeng dan Laman Tiba, MARDI Kuala Kangsar ini,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun penjualan tidak seperti tahun-tahun lalu, keselamatan rakyat adalah lebih penting berbanding keuntungan yang diperoleh.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Johari Saripa berkata, pihaknya menawarkan pelbagai jenis durian Kahwin dan klon bermutu seperti MDUR 78, MDUR 79, MDUR 88 dan D24.

“Kita telah melakukan kacukan secara konvensional dengan D10, kita telah menumui tiga hibrid berkualiti, MDUR 78, 79 dan 88. Kita dapat lihat MDUR 88 mendapat permintaan tinggi dengan kualiti isi yang menarik dengan warna keemasan dan peratusan isi yang lebih tinggi.

“MDUR 88 ini saya kira boleh diketengahkan kerana ia tidak asing lagi buat penggemar durian dan mempunyai kualiti yang tinggi dan sangat digemari oleh penduduk serantau,” jelasnya lagi.

Beliau sempat menegaskan, kebergantungan terhadap satu jenis durian dalam pasaran seperti durian Musang King memberi risiko yang tinggi kerana durian tersebut memerlukan penjagaan rapi.

Musim Durian di Perak telah bermula sejak awal Jun dan dijangka akan berakhir pertengahan Julai ini.

Tempahan atas talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.agrobazaar.com.my atau muat turun aplikasi bazaaronline di Playstore atau AppStore dan Whatsapp 011-20720570 bagi sebarang pertanyaan. – HARAKAHDAILY 18/6/2020