Wajar Dr Mahathir lupa hasrat jadi PM

Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik dan peralatan Indastri Kecil dan Sederhana di Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan di Wisma Ibadurrahman di sini hari ini.

TUMPAT: Tun Dr Mahathir Mohamed wajar melupakan hasrat untuk kembali bergelar perdana menteri (PM) biarpun mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.

Bekas perdana menteri dua kali itu sewajarnya memberi laluan kepada orang lain memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara.

Advertisement

Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sudah sampai masanya Dr Mahathir memberi laluan kepada orang lain untuk pegang jawatan itu.

“Tidak perlu lagi jawatan (PM) berkenaan diterajuinya, tetapi kita sangat menghormatinya terutama penglibatan sepanjang menerajui politik negara sebelum ini.

“Bagi saya beliau lebih sesuai menjadi penasihat kepada pemimpin negara sekarang kerana memiliki pengalaman luas,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik dan peralatan Indastri Kecil dan Sederhana di Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan di Wisma Ibadurrahman di sini hari ini.

Semalam Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilaporkan memberitahu parti itu menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan tidak adil memaksa Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.- HARAKAHDAILY 18/6/2020