Coretan memperingati Dr Muhammad Morsi

KEMENANGANNYA bukan kehendak manusia, tapi pilihan taqdir

Menelusuri sejarah kemenangan Dr Muhammad Morsi menyaksikan beliau pada asalnya bukan calon utama yang dikemukakan oleh Ikhwanul Muslimin (IM) menerusi sayap politiknya iaitu Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Calon pertama yang dihantar oleh FJP ialah Khairat Syatir, seorang yang kaya lagi dermawan kerana menanggung beberapa bahkan puluhan keluarga pelarian Palestin yang miskin.

Malah, pada keputusan awal Maktab Irsyad IM ialah tidak menghantar calon Presiden untuk bertanding adalah keputusan majoriti sebelum dibincang semula yang akhirnya memihak kepada keputusan menghantar calon dan dicalonkan Khairat Syatir.

Ketika IM pada keputusan awal tidak menghantar calon Presiden untuk bertanding, berlaku pergeseran perselisihan dengan beberapa individu yang tetap mahukan adanya calon dari wakil Islamis yang mesti datang dari IM bagi menutup ruang calon-calon lain yang diragui akan meneruskan kebobrokan Hosni Mubarak sebelum ini. Ini menjadikan Abdul Mun’im Abu Futuh bertindak di luar ketetapan keputusan yang diambil oleh IM ketika itu dengan beliau mencalonkan diri sendiri sebagai calon.

Advertisement

Beliau dilihat mendapat faedah bagi menarik pengundi kalangan Islamis khususnya apabila:

(1) Latar belakang dan keterlibatan yang lama bersama IM.
(2) Ketika itu, Syeikh al-Qardhawi menyuarakan menyokong beliau dan meminta rakyat Mesir memilih beliau kerana calon lain tidak berlatar belakangkan tarbiyah dari manhaj IM.

Di samping itu juga, terdapat calon popular yang naik iaitu Hazim Abu Ismail yang mendapat sokongan dari kalangan puak Salafi dengan menubuhkan Parti Cahaya (Hizbun Nur). Namun pencalonan beliau terbatal kerana tidak memenuhi syarat calon Presiden apabila ada dakwaan bahawa beliau ada salasilah sebelah ibu atau ayahnya dari orang luar negara Mesir.

Selain itu, yang menjadi perhatian juga adalah Hamdan Sobahi, namun beliau berlatar belakangkan Sosialis. Dan juga Ahmad Syafiq dari parti yang sama dengan Hosni Mubarak iaitu Parti Kebangsaan atau Nasionalis (Hizbul Watan) yang sudah pasti membawa ideologi yang sama dengan Hosni Mubarak kerana aliran parti yang sama.

Banyak lagi calon Presiden yang lain namun kurang menonjol berbanding yang disebutkan tadi. Ini kerana calon-calon yang menonjol sudah memiliki kekuatan akar umbi dari awal berbanding calon parti lain yang baru muncul.

Namun di saat akhir beberapa jam, 2-3 jam sebelum penutupan penghantaran calon bagi kelayakan bertanding, nama Dr Muhammad Morsi dikemukakan oleh IM sebagai ‘back up’ bagi calon pertama iaitu Khairat Syatir kerana media sudah memainkan isu bahawa Khairat Syatir ada kes tergantung di mahkamah yang boleh menyebabkan terlucut kelayakan untuk bertanding.

IM menerusi FJP yang memahami kelicikan ‘orang-orang’ Mesir dalam kerja menghalangi perjuangan Islam dapat bertapak di bumi Mesir, telah mengambil tindakan dengan mencalonkan juga Dr Muhammad Morsi dan sememangnya tepat telahan IM apabila akhirnya Khairat Syatir tidak layak bertanding kerana isu kes di mahkamah yang masih tergantung.

Inilah kemenangan Dr Muhammad Morsi adalah pilihan taqdir kerana:

(1) Ahmad Syafiq pilihan Nasionalis.
(2) Hamdan Sobahi pilihan Sosialis.
(3) Hazim Abu Ismail pilihan kalangan Salafi.
(4) Khairat Syatir pilihan asal IM.
(5) Abdul Mun’im Abu Futuh pilihan pro Islamis.

Sehingga ketika mana waktu angkat sumpah Presiden, pemangku Presiden sepanjang ketiadaan Presiden Mesir ketika itu, iaitu Kamal Kanzuri turut menyatakan ia bahawa manusia merancang namun Allah menyempurnakan perancang-Nya.

Kemenangan Dr Morsi bukti demokrasi bersih menolak diktator

Revolusi Mesir pada tahun 2011 menjadi sejarah kepada pintu pemilihan seorang Presiden pilihan majoriti rakyat. Ia dinilai apabila sistem kediktatoran Mesir sangat tinggi. Pertandingan calon Presiden era Revolusi 25 Januari, menyaksikan betapa ramai calon Presiden yang bertanding dengan pelbagai logo politik.

Kemenangan Dr Morsi bukanlah dijangka dan tidak melalui laluan mudah. Sistem pemilihan Presiden dalam negara Republik seperti Mesir adalah:

(1) Undian pusingan pertama, jika tiada calon yang memperolehi 50 peratus + 1 undi maka, belum ada pemenang tetapi akan memasuki pusingan kedua dengan hanya 2 calon yang mendapat suara tertinggi akan bertanding semula secara berduaan sahaja.

(2) Jika seorang calon memperolehi undian 50 peratus + 1 maka akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Pemilihan Presiden yang berlaku memasuki pusingan ke-2 yang melibatkan antara Dr Morsi dari FJP dengab Ahmad Syafiq dari Hizbul Watan (Parti Nasionalis).

Kempen pusingan ke-2 terdapat kelicikan apabila Hizbul Watan mempergunakan beberapa individu yang dikenali dengan imej ‘ulamak’ bagi berkempen memilih Ahmad Syafiq dengan beberapa cara:

(1) Dakwaan Ahmad Syafiq adalah dari keturunan ahlu Bait, bagi kononnya mengangkat kemuliaan Ahmad Syafiq.

(2) Meneruskan provokasi mengenai serangan ke atas IM secara tuduhan-tuduhan berat.

Walaupun demikian, ketetapan Allah menjadikan majoriti undian memihak kepada Dr Morsi walaupun peratusan rakyat keluar mengundi tidaklah besar, namun ia tetap menjadi tanda aras bahawa rakyat memilih selain calon dari Hizbul Watan, parti lama yang juga merupakan parti bagi Hosni Mubarak, mantan Presiden Mesir yang digulingkan.

Kemenangan Dr Morsi disambut oleh rakyat dengan himpunan di Medan Tahrir yang kemudiannya dinamakan semula dengan Medan Syuhada sebagai memperingati kalangan mereka yang terkorban sewaktu berlaku revolusi ekoran kekasaran anggota polis dan keamanan (waktu revolusi ini tentera berpihak pada rakyat, polis tidak).

Sewaktu ucapan sulung Dr Morsi bersama rakyat di Medan Syuhada menyaksikan beliau begitu disambut oleh rakyat dan beliau juga begitu teruja sehingga beliau berucap sambil membuka kot baju luaran menunjukkan beliau tidak memakai baju kalis peluru di dalam lantas berkata yang maksudnya:

“Aku seperti kamu semua (أنا زي كم).”

Maksud ucapan ini merujuk kepada keazaman beliau tidak mahu wujud jurang perbezaan bersama rakyat dengan tidak mengulangi sikap kediktatoran seumpama pemerintahan yang lalu.

Morsi, Ikhwan dan Al-Azhar

Suasana di Mesir tidak sama dengan realiti suasana di Malaysia. FJP parti politik berasingan dari IM walaupun hubungan sebagai sayap politik. Ini kerana di Mesir, IM adalah diharamkan oleh kerajaan sejak sekian lama. Bagi memastikan IM dapat menembusi gelanggang demokrasi politik negara itu untuk bertanding, maka memerlukan medium yang sah berdaftar.

Sebab itu, walaupun pada awal penubuhan FJP terdapat kekalutan dan konflik dalaman antara semangat kepemudaan ahli IM dan yang lain, namun pandangan zahir luaran berjaya dilihat IM dapat mengurus dengan baik. Lagipun tidak ada mana-mana parti atau jamaah yang sunyi dari ujian dalaman, hanya yang membezakan cara pengurusan dalam penyelesaiannya.

Situasi sejak awal kemenangan Dr Morsi sudah dilihat menerima cabaran kerana:

(1) Tidak semua pro Islamis setuju dan bersama IM.
(2) Masih terdapat pihak Nasionalis yang tidak suka kepada IM.
(3) IM sudah dimomok akan jamaah takfiri menjadikan ia tumpuan serangan walau sesama Muslim dari pihak yang tidak suka kepada jamaah Islam.

Sebab itu, ada satu majlis kerajaan yang awal berlakunya pergeseran apabila dalam jemputan tetamu kehormat, tidak disediakan kerusi bagi Syeikhul Azhar, Syeikh Dr Ahmaf Tayyib sedangkan beliau hadir lantas pulang begitu sahaja setelah ketiadaan tempat seolah ‘tidak meraikan’ beliau atas kapasiti jawatan besar iaitu Syeikhul Azhar. Jawatan ini bukan posisi biasa-biasa, malah ‘secara protokol’ posisi Syeikhul Azhar adalah setaraf Perdana Menteri.

Sama ada kejadian tersebut disengajakan bagi tujuan melagakan Dr Morsi dan tujuan jahat mencerminkan IM dengan imej yang tidak baik atau ia bukan disengajakan, yang pasti kekecohan yang timbul menunjukkan satu teladan dari Dr Morsi akan perihal jiwa besar dengan beliau sendiri pergi Syeikhul Azhar selepas atau keesokannya bagi memohon maaf dan memperbaiki hubungan kembali.

Malah di awal pentadbiran beliau, melihat agak rancak ceramah oleh para masyaikh mengenai fokus tajuk ‘nasihat kepada pemerintah’ yang jarang kedengaran tajuk ini dibicarakan secara bebas dan terang-terangan di zaman Hosni Mubarak. Entah mengapa, soal niat terserah pada Allah dalam menghukumnya. Namun Dr Morsi tetap bersahaja, mengambil peluang sebagai peringatan dan mengambil pengajaran. Tidak melatah dan bentak secara semberono.

Inilah sosok tubuh Presiden yang juga memiliki kelebihan antaranya:

(1) Menghafaz al-Quran.
(2) Memiliki kesedaran perjuangan Islam dan mendapat tarbiyah IM sebagi jamaah Islam di Mesir.

Antara ‘rungutan’ pengawal peribadi beliau sewaktu menjadi Presiden Mesir ialah:

(1) Bertugas awal pagi kerana beliau bangkit awal dan keluar ke masjid untuk solat Subuh.

(2) Ketika melakukan umrah, pengawal tidak hanya berkawal tetapi berkawal sambil melakukan umrah bersekali.

Ini kerana jadual kehidupan beliau berbeza dengan Hosni Mubarak dari sudut kelebihan yang beliau miliki iaitu tarbiyah dan kekuatan penghayatan Islam.

Beliau berusaha dengan pandangannya ketika itu, bertindak sebagai ‘kerajaan’, bukannya jamaah IM yang menguasai kerajaan. Menjadikan protokol kerajaan tetap ketat tanpa kompromi walau terhadap Dr Muhamad Badi’, Mursyidul Am IM. Tepat atau tidak ijtihad beliau dalam berkelakuan demikian, ia terserah dalam menilai. Jika wujud kelemahan itu, tidaklah menjadikan beliau untuk terus dinafikan akan keberadaan beliau dalam serius mentadbir bagi mengubah keadaan rakyat Mesir dengan memperkenalkan 5 manifesto untuk dicapai dalam 100 hari antaranya ialah:

(1) Isu kebersihan dan sampah.
(2) Isu kecukupan bekalan roti bagi rakyat Mesir.

Singkat tapi cukup memberikan kesan dalam ingatan

Setiap perkara ada tempohnya sama ada lama atau sekejap atas ketentuan Allah padanya. Yang baik pun tidak akan kekal, yang jahat pun tak akan berkuasa selama-lamanya.

Walau dalam tempoh 1 tahun (lebih kurang) yang diizinkan oleh Allah maka kita sangat mengkagumi kewibawaan yang dimiliki oleh Dr Morsi. Beliau membawa aspirasi rakyat semasa revolusi iaitu negara menjadi keutamaan untuk dibangunkan.

Malah amat terkejut dan menyedihkan ketika menerima berita beliau digulingkan oleh orang yang dilantik oleh beliau sendiri iaitu Abdul Fattah as-Sisi yang menggantikan Marshall Tantawi.

Apa pun beliau tenang dalam penjara. Takutnya musuh Allah terhadap beliau sehingga permintaan mushaf untuk dibaca pun tidak diperkenankan. Malahan apabila beliau telah meninggal dunia, acara pengebumian beliau pun tidak dibenar buka kepada umum.

Benarlah pejuang Islam tidak hanya ditakuti semasa ia hidup, malah selepas ia mati turut digeruni!

Damailah dikau di sana, wahai Dr Morsi! Lelah perjuanganmu akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang besar.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/6/2020