MIGHT, Venture Tech rintis sains dan teknologi

LAWATAN kerja diteruskan lagi semalam ke Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) di Cyberjaya.

Delegasi diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin, saya sendiri, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Dr. Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI.

MIGHT merupakan sebuah agensi di bawah seliaan MOSTI yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan teknologi tinggi di Malaysia melalui peranannya sebagai badan pemikir, pembangunan konsensus swasta-awam dan platform pemeliharaan perniagaan. Ini adalah organisasi yang dibangun berdasarkan kekuatan perkongsian awam-swasta dengan lebih daripada 80 ahli, tempatan dan Antarabangsa, dari industri, kerajaan dan akademik

Advertisement

Setelah taklimat, delegasi turut dibawa melihat pameran teknologi tinggi dan Industri 4.0 oleh Rakan Industri dalam sektor Teknologi Tinggi dan mengadakan sesi interaksi bersama Rakan Jaringan Antarabangsa MIGHT dalam usaha memacu Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.

Saya yakin MIGHT merupakan salah satu antara indikator yang mampu memacu kemajuan teknologi di negara kita.

Venture Tech

700 meter dari MIGHT, kami dibawa oleh coaster yang menggunakan kuasa bateri ke bangunan Venture Tech, sayap pelaburan MIGHT. Kami disambut oleh pengurusan Venture Tech dan terus dibawa melawat ruang pameran. Kami diberi penerangan mengenai produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat yang dibiaya oleh Venture Tech.

Seterusnya kami dibawa ke bilik mesyuarat dan diberi penerangan lebih lanjut mengenai latar belakang dan perjalanan Venture Tech, syarikat pelaburan yang membangunkan syarikat perintis sains dan teknologi Bumiputera terulung di Malaysia. Cabang pelaburan Venture Tech walau bagaimanapun hanya memfokuskan kepada 3 cabang industri sahaja iaitu bioteknologi, teknologi hijau dan industri baharu.

Saya sempat menyaksikan pertukaran perjanjian pelaburan di antara VentureTECH dengan dua buah syarikat tempatan, TXMR Sdn Bhd, sebuah syarikat kejuruteraan automasi dan robotik, dan juga ACME Chemicals (M) Sdn Bhd sebuah syarikat yang menyediakan teknologi rawatan air.

Besarlah harapan saya untuk melihat lebih ramai usahawan Bumiputera di dalam bidang sains dan teknologi untuk turut mendapat manfaat pelaburan daripada Venture Tech ini.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 19/6/2020