PH Plus dalam dilema besar

SEMAKIN kuat perang psikologi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohammad dan Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka ada nombor, semakin ramai pula wakil rakyat PH yang menyeberang ke Perikatan Nasional (PN).

Yang terbaru Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta. Daroyah juga adalah Adun Sementa dan Timbalan Speaker DUN Selangor.

Namun hakikat bahawa Anwar dan Mahathir masih belum dapat lagi menemui titik perdamaian yang memadai semenjak Mahathir menjatuhkan sendiri kerajaan PH pada awal tahun ini tambah membuntukan usaha PH untuk merampas semula kerajaan dari PN.

Hantaran facebook Dr Mazlee Malik baru-baru ini bertajuk ‘Galah Sejengkal Tun Dr Mahathir’ yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri (PM) tidak seharusnya dilihat sebagai hak mutlak Anwar telah menimbulkan polemik antara penyokong kuat Mahathir dan penyokong kuat Anwar.

Advertisement

Ini telah menyebabkan kedua-dua pihak ini berbalas-balas kenyataan di media sosial. Antaranya kenyataan balas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan bahawa jawatan PM juga bukan hak mutlak Mahathir.

Sebenarnya, walau pun Anwar katanya ada ‘solid’ sokongan sebanyak 92 kerusi mengikut anggaran Dr Mazlee, namun itu belum mengambilkira sekiranya ahli-ahli parlimen PH ini perlu memilih hanya satu di antara Anwar atau Mahathir. Angka ini hanya berdasarkan andaian semua Ahli Parlimen PKR, DAP dan PAN menyokong Anwar.

Tapi nampaknya sekarang ini hanya PKR sahaja yang benar-benar solid menyokong Anwar sebagai PM. Sementara sokongan PAN dan DAP terhadap Anwar pula hanya sekiranya Anwar seorang sahaja dicalonkan sebagai PM oleh PH.

Sekiranya DAP dan PAN terpaksa memilih antara Anwar atau Mahathir, penulis pasti Ahli-Ahli Parlimen PAN dan DAP akan terbelah dua juga. Jika itu situasinya mungkin daripada 92 kerusi solid itu pun boleh tinggal 50 kerusi sahaja yang benar-benar menyokong Anwar.

Anwar dan Mahathir memang tahu jika mereka tidak bergabung, impian mereka untuk merampas semula kerajaan persekutuan dari PN hanya akan jadi mimpi di tengahari.

Namun Anwar nampaknya sudah makin tersedar bahawa selama ini dia memang diperbodoh-bodohkan oleh Mahathir. Sepatutnya dari dahulu lagi, iaitu semenjak Anwar memenangi PRK Port Dickson dia sepatutnya sudah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Tapi khabarnya Mahathir sendiri yang selama ini tidak mahu Anwar dilantik sebagai TPM selagi Mahathir masih lagi PM dengan pelbagai alasan yang ‘murni’.

Dan selepas jatuhnya kerajaan PH mereka berdua dilihat sering berbalas-balas kenyataan sindiran bermula dengan satu rakaman video pertemuan Mahathir dengan pimpinan Bersatu bila Tun ada mengeluarkan kata-kata ‘Anwar gila-gila hendak jadi PM’. Selain itu beberapa audio yang tersebar dipercayai suara Mahathir yang mengatakan bahawa beliau memang tidak mahu Anwar jadi PM.

Sementara itu Anwar pula baru-baru ini ada menyentuh tentang sikap sesetengah pemimpin PH sebelum ini yang menjauhkan orang Melayu dari PH. Antaranya tuduhan bahawa orang Melayu malas dipercayai ditujukan kepada Mahathir.

Anwar juga tidak turut serta dalam satu sidang media Mahathir selepas sidang parlimen pada 18 Mei lepas. Selain Anwar, tiada seorang pun wakil PKR hadir dalam sidang media itu. Sungguh pun begitu ia tetap dihadiri pimpinan tertinggi PAN dan DAP.

Ramai yang membuat tafsiran bahawa Anwar tidak lagi mahu orang ramai melihat bahawa Mahathir masih mengetuai PH kerana jika sidang media itu dipanggil oleh Mahathir maka Mahathirlah yang akan duduk di kerusi tengah-tengah membawa maksud dialah ketua.

Sementara pada 9 Jun lepas pula Anwar telah memanggil satu mesyuarat PH di ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya Selangor. Turut hadir ialah Mahathir dan pimpinan parti Warisan. Ia juga dilihat sebagai satu strategi Anwar supaya kali ini dia pula dilihat sebagai ‘ketua’ kepada PH sekarang dan bukannya Mahathir. Dengan dirinya sebagai ‘tuan rumah’ Anwar dapat duduk di kerusi tengah dalam sidang media dan Mahathir pula kini duduk di tepi beliau sebagai simbolik bahawa Mahathir bukan lagi ‘ketua’ kepada PH.

Ada sumber mengatakan bahawa Mahathir menawarkan Anwar untuk menjadi TPM dan Mahathir sendiri menjadi PM jika PH berkuasa semula. Tapi kali ini Anwar sudah tidak tertarik dengan formula itu.

Desas-desus mengatakan bahawa sekutu kuat PKR selama ini iaitu PAN dan DAP bersama-sama dengan Warisan telah bersetuju agar Mahathir diangkat sebagai PM ke-9 dan Anwar sebagai TPM jika PH Plus kembali berkuasa pasti melukakan hati Anwar.

Penulis melihat Anwar nampaknya sudah serik dipermainkan Mahathir. Sekarang Anwar nampaknya sudah cerdik. Anwar cuba berkeras bahawa dialah yang akan jadi PM ke-9. Tak ada ‘hanky-panky’ lagi.

Mahathir pula tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan mengalah dan memberi laluan kepada Anwar. Ada sumber mengatakan bahawa proses pujuk-memujuk masih berlaku dengan Mahathir katanya meminta hanya enam bulan untuk beliau terus menjadi PM sebelum ia diserahkan kepada Anwar. Namun difahamkan jawapan Anwar masih lagi ‘tidak bersetuju’.

Mungkin sekarang ungkapan keramat ‘yang penting kita nak jatuhkan PN’ sudah tidak laku lagi pada Anwar seperti motto PH semasa hendak menjatuhkan BN semasa PRU14 dulu. Anwar tak mahu lagi digula-gulakan dan terpaksa berkorban demi untuk melihat PH memerintah.

Anwar pun tahu jika Mahathir berjaya menjadi PM ke-9 dia akan menghadapi kesukaran yang sama untuk menuntut ‘haknya’ itu seperti yang berlaku sebelum ini. Sebelum ini kerana sibuk menuntut janji Mahathir akhirnya kerajaan PH runtuh.

Anwar pun sudah bosan digelar ‘PM tepi’. Takut nanti jadi PM tepi sampai mati. Kalau sekali lagi Mahathir mempermainkan Anwar sudah pasti Anwar dilihat seperti badut di mata orang ramai. Lalu semua ini menjadikan PH Plus dalam dilema yang maha besar.

Muhyidin pun rasanya tidak perlu risau untuk buat PRU15 mengejut. Penulis percaya perbincangan di dalam PH untuk menentukan siapa akan menjadi PM samada Mahathir atau Anwar tidak akan menemui kata putus dan akan berlanjutan hingga sampai tamat tempoh Parlimen-14 ini. Silap-silap sehingga bubar parlimen untuk PRU15 pun mereka belum dapat keputusan siapa yang akan jadi PM untuk PH samada Mahathir atau Anwar.

IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.- HARAKAHDAILY 19/6/2020