Kebenaran solat Jumaat, usaha MAIK dihargai

TUMPAT: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada Majis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang telah membenarkan solat berjemah dan solat Jumaat di masjid bermula semalam.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, usaha MAIK yang berterusan mendapatkan maklumat dari Majlis Keselamatan Negeri (MKN) berhubung perkara itu, akhirnya solat berjemaah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan di masjid dengan bersyarat.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong membaik pulih sebuah rumah milik seorang penduduk dalam DUN Pasir Pekan, dekat sini hari ini.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas keputusan MAIK yang telah membenarkan rakyat di negeri itu menunaikan solat berjemaah di masjid termasuk solat Jumaat bermula semalam di seluruh Kelantan.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana MAIK sudah maklum ada masjid mampu menyediakan 100 hingga 200 orang jemaah disebabkan penjarakkan sosial.

“Paling ramai di Kelantan, semalam (Jumaat) di Masjid Muhammadi Kota Bharu 920 orang.

“Untuk itu kerajaan negeri mengucapkan terima kasih pada MAIK di atas usaha tersebut,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih pada petugas barisan hadapan yang bekerja keras sehingga berjaya mengekang Covid-19 dengan baik, sama ada di peringkat negeri dan negara.

Tambahnya lagi, mengingatkan orang ramai yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid diharapkan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Datang masjid awal sekiranya ingin berjemaah di masjid. Di sini kita dapat pelajari normal baru dalam kehidupan antaranya mematuhi masa,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 20/6/2020