Pemergian Ustaz Azian amat dirasai

NIBONG TEBAL: PAS Kawasan Nibong Tebal melahirkan kesedihan atas kehilangan seorang pejuang berdedikasi Ustaz Muhammad Azian Abdul Rahman Nazri, 47 yang meninggal dunia kerana mengalami sakit jantung semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia 14 tahun bersekolah di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah Tanjung Piandang dan seorang lagi berusia 12 tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Baru Parit Buntar, Perak.

Advertisement

Pemergian Allahyarham Ustaz Muhammad Azian Abdul Rahman, merupakan satu kehilangan besar kepada PAS Kawasan Nibong Tebal.

Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Ustaz Tajudin Abu Bakar antara pimpinan terawal hadir menziarahi Allahyarham menyifatkan pemergian Ustaz Azian ini sangat menyentuh hati.

Beliau dan almarhum telah lama saling mengenali dan sama-sama pernah merasai susah senang sewaktu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting satu ketika dahulu.

“Allahyarham seorang yang kuat, sabar dan sentiasa berbaik sangka dengan takdir” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut hadir menziarahi Allahyarham, ADUN Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah, YDP PAS Kawasan Nibong Tebal saudara Nor Zamri Latif, Ketua Urusan Ulama Kawasan Ustaz Rijaluddin Yahya dan beberapa pimpinan PAS Kawasan Nibong Tebal.

YDP PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latif ketika dihubungi melahirkan kesedihan atas pemergian yang tidak disangka ini.

Beliau turut bercerita Allahyarham Ustaz Muhammad Azian mempunyai sikap yang sentiasa tawaduk, ringan tulang, murah senyuman, dan sentiasa hadir dalam program PAS”

“Semoga sikap istiqamah Allahyarham dalam perjuangan Islam, mewariskan pula semangat perjuangan kepada generasi muda dalam PAS”, katanya.

Ketua Urusan Ulama PAS Nibong Tebal Al-Fadhil Ustaz Rijaluddin Yahya, ketika dihubungi turut melahirkan kesedihan berikutan pemergian almarhum.

Beliau menyifatkan pemergian Ustaz Azian adalah satu kehilangan besar buat PAS di sini.

Selain giat membantu PAS Kawasan, Ustaz Azian jug aktif sebagai naqib yang turut memimpin usrah khususnya dalam Cawangan Dato Keramat.

Terima kasih semua – Balu

Isteri Allahyarham Ustazah Hendon Ali 43, ketika dihubungi penulis hari ini, turut merakamkan terima kasih kepada semua pimpinan dan masyarakat setempat yang hadir menziarahi dan membantu menguruskan pengurusan jenazah suami beliau, Ustaz Azian.

“Terima kasih atas keprihatinan semua, mohon doa semua untuk kami dan juga untuk arwah, jika ada apa-apa yang belum selesai, boleh datang dan selesaikan”

Bagi sahabat yang ingin membantu boleh hubungi beliau di talian 0194208916. – HARAKAHDAILY 20/6/2020